Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan perbualan telefon dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar pada Selasa.
Semasa perbualan telefon tersebut, Ishaq Dar memaklumkan mengenai perkembangan pencapaian Memorandum Persefahaman (MoU) fasa pertama antara Iran dan Amerika Syarikat(AS).
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak China kerana kekal berhubung rapat dengan Pakistan pada beberapa bulan lepas, selain sokongan yang diberikan terhadap usaha pengantaraan Pakistan.
Beliau berkata, pihak Pakistan berharap dapat terus berkomunikasi dan menyelaras tindakan dengan China, mengekalkan momentum rundingan semasa, serta bersama-sama memainkan peranan aktif dalam merealisasikan keamanan dan kestabilan serantau yang berkekalan.
Sementara itu Wang Yi mengucapkan tahniah kepada pihak Pakistan atas usaha mendorong pencapaian MoU fasa pertama antara Iran dan AS, serta menekankan bahawa usaha untuk keamanan merupakan tanggungjawab antarabangsa yang sepatutnya dipikul oleh semua negara termasuk China dan Pakistan.
Ujarnya usaha perlu dilakukan selagi masih ada harapan untuk mencapai keamanan.
Sejak berlakunya konflik, pihak China telah mengekalkan komunikasi dengan pelbagai pihak dan secara aktif mendorong usaha menghentikan peperangan dan menggalakkan keamanan.
Malah China sejak awal lagi telah menyokong penuh usaha pengantaraan Pakistan dan menekankan kepada semua pihak bahawa Pakistan adalah pengantara yang boleh dipercayai.
Pada masa sama, China juga telah berhubung dengan AS dan Iran bagi mendorong perdamaian antara kedua-dua negara itu.
Wang Yi menyatakan China sentiasa mengesyorkan bahawa negara-negara di rantau ini perlu menentukan nasib dan masa depan mereka sendiri, serta berharap jalan keamanan dan keselamatan yang melibatkan semua negara di rantau ini dilakukan melalui dialog dan rundingan.
Wang Yi berkata pihak China juga bersedia bersama Pakistan untuk terus menggalakkan usaha damai dan penyelesaian menerusi rundingan bagi kestabilan dan pembangunan di Asia Barat.













Tinggalkan Balasan