MYEG Gagal Pindah RM314 Juta Kutipan Hasil Kepada Kerajaan – Loke

PUTRAJAYA, 5 Okt — Perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut hasil digantung kerana gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kepada kerajaan dari 19 Mei hingga 30 Sept, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata kerajaan mengambil tindakan itu selepas syarikat tersebut gagal menjelaskan tunggakan itu walaupun kerajaan telah mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan sesi libat urus sejak Mei lepas.

Beliau berkata MYEG telah menyerahkan cek berjumlah RM231 juta bertarikh 30 Sept, namun bayaran itu tidak dapat diproses oleh pihak bank atas arahan syarikat tersebut.

“Justeru, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa mengambil langkah drastik menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MYEG dan Zetrix AI bermula 5 Okt,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Loke menafikan laporan sebuah akhbar mendakwa tunggakan bayaran oleh MYEG telah berlarutan sejak tiga tahun lepas.

“Sebelum Mei, memang kadangkala ada tunggakan, tetapi selepas kita mengeluarkan surat notis peringatan, mereka bayar tunggakan itu.

“Tetapi tunggakan sebanyak RM314 juta adalah sejak Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lepas dan bukannya tiga tahun,” katanya.

Loke berkata perkhidmatan MYEG sebagai ejen pemungut hasil akan terus digantung selagi tunggakan tidak diselesaikan dan pada masa sama, mengambil tindakan perundangan terhadap syarikat itu. 

“Kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.

“Kami akan merujuk kepada Kementerian Kewangan dan agensi pusat lain berhubung tindakan susulan dari segi tindakan sivil. Perkara ini bukan sahaja melibatkan kewajipan kontrak, malah menyalahi undang-undang kerana mereka mengutip wang itu bagi pihak kerajaan.” katanya.

Loke menegaskan tindakan terhadap MYEG tidak dipengaruhi oleh faktor pemilikan syarikat atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak.

“Saya memperlakukan semua syarikat, setiap ejen sebagai sama… (soal) ia berkaitan dengan parti mana, itu bukan pertimbangan kami. Faktanya ialah ada tunggakan yang sepatutnya menjadi obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil,” katanya.

MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak 2000.  

Sebagai ejen pemungut, syarikat itu bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan.