Penggantungan MYEG Tidak Jejas Penyampaian Perkhidmatan JPJ Kepada Rakyat – Loke

PUTRAJAYA, 5 Okt — Penggantungan perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuat kuasa hari ini tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata urus niaga berkaitan masih boleh dilaksanakan melalui saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk jabatan itu serta saluran lain yang ditetapkan.

Beliau berkata bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia, khususnya di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, JPJ menyediakan kemudahan pembayaran menerusi kaunter bergerak di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor dari 8 pagi hingga 10 malam.

“Langkah ini bagi memastikan urusan pembayaran saman dapat dilaksanakan dengan lancar di kedua-dua pintu masuk tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Loke memberi jaminan pengguna yang telah membuat pembayaran melalui MYEG sebelum penggantungan tidak akan terjejas kerana lesen mereka telah diperbaharui dan kekal sah.

Berhubung pelaksanaan Ujian Teori KPP01, Loke berkata JPJ menyediakan saluran melalui 85 institut memandu yang diluluskan untuk melaksanakan ujian berkomputer, membolehkan calon meneruskan urusan tanpa bergantung kepada pusat ujian kendalian MYEG.

Loke berkata penyediaan saluran alternatif itu hasil usaha kerajaan sejak beberapa tahun lepas untuk mengurangkan kebergantungan kepada sesuatu ejen dan membuka perkhidmatan kepada lebih banyak pihak.

Dalam masa sama, Loke berkata kerajaan masih memerlukan ejen pemungut hasil kerana kira-kira 20 peratus pengguna masih menggunakan perkhidmatan itu, khususnya bagi urusan pembayaran lesen dan cukai jalan.

“Selain MYEG, kita ada Pos Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar (kerana) mereka masih memerlukan perkhidmatan di pejabat pos untuk membayar lesen, cukai jalan dan sebagainya,” katanya.

Loke berkata peranan ejen pemungut hasil bukan perkara baharu kerana perkhidmatan itu telah digunakan sejak kerajaan beralih kepada sistem pembayaran elektronik kira-kira 20 tahun lepas.

Namun, beliau berkata kerajaan kini memperluas penggunaan aplikasi MyJPJ supaya pengguna boleh berurusan secara terus dengan JPJ tanpa melalui pihak ketiga.

“Transaksi melalui aplikasi MyJPJ meningkat dengan pesat dan aplikasi itu akan terus ditambah baik, termasuk dengan memperkenalkan lebih banyak ciri baharu bermula bulan depan,” katanya.

Perkhidmatan MYEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd digantung kerana gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kepada kerajaan dari 19 Mei hingga 30 Sept.