SUNGAI PETANI, 5 Okt — Pembukaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani dijangka mampu mengurai kesesakan pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata operasi klinik berkapasiti besar dilengkapi fasiliti serba moden itu dijangka mampu menyantuni kira-kira 500,000 penduduk sekitar daerah Kuala Muda dengan kapasiti kedatangan mencecah 1,200 pesakit sehari.
“Apabila kes ringan atau Zon Hijau diserap sepenuhnya ke sini, HSAH kelak boleh memberikan tumpuan optimum kepada rawatan kepakaran, kecemasan, dan trauma yang lebih kompleks.
“Bagi menyokong kelancaran operasi di fasiliti ini, saya turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM398,800 bagi tujuan pembaikan, naik taraf fasiliti, serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Kementerian Kesihatan (KKM) menerima penyerahan rasmi Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani bernilai RM38.73 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), pagi tadi.
Dr Dzulkefly berkata menjelang operasi berfasa yang disasarkan bermula 11 Okt ini, beliau telah memberi arahan tegas agar kesiapsiagaan klinik dan tatakelola aset, termasuk aduan kerosakan di bawah Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), diuruskan dengan cekap tanpa kompromi.
Beliau berkata berdasarkan unjuran kedatangan pesakit yang tinggi kelak, beliau juga telah mengarahkan agar cadangan pembinaan ruang parkir bertingkat berkapasiti 150 kenderaan diteliti dengan segera bagi menjamin keselesaan pengunjung.
“Kejayaan projek ini tidak diukur pada nilai jutaan ringgit atau cantiknya bangunan ini. Ia diukur pada seberapa cepat kesakitan pesakit dirawat dan setulus mana layanan yang diberikan.
“Biar semoden mana pun fasiliti kita, ia wajib dihidupkan dengan roh ihsan, empati, dan profesionalisme,” katanya.

















Tinggalkan Balasan