BEIJING, 5 Okt — Teknologi grafen berpotensi berkembang pesat di China berikutan negara itu memiliki rantaian bekalan berkaitan yang lengkap dan berterusan, menurut Pemenang Hadiah Nobel Fizik Konstantin Novoselov.
Beliau berkata China bukan sahaja mempunyai keupayaan membekalkan bahan mentah, malah yang lebih penting, memiliki tenaga profesional dalam jumlah yang besar.
Pada 2004, dua ahli fizik dari Universiti Manchester, Konstantin Novoselov dan Andre Geim berjaya “mengasingkan” lapisan tunggal grafen daripada grafit menggunakan kaedah pengelupasan mekanikal dengan pita pelekat.
Penemuan itu membuka era baharu dalam penyelidikan bahan dua dimensi.
Pada 2010, kedua-dua saintis itu dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik secara bersama atas penyelidikan mengenai grafen, dengan Novoselov yang berusia 36 tahun ketika itu menjadi antara penerima anugerah termuda dalam sejarah anugerah berkenaan.
“Memandangkan bahan baharu hanyalah sebahagian daripada penyelesaian, ia perlu disepadukan ke dalam rantaian bekalan dengan cara tertentu, dan inilah yang telah dilakukan oleh China,” katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
China dianggap sebagai antara pelopor dalam industri grafen di peringkat global dengan memiliki lebih 70 peratus paten berkaitan grafen di dunia, selain membangunkan rantaian industri lengkap daripada penghasilan bahan mentah hingga kepada pelbagai aplikasi.
Selain itu, Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 China memberi keutamaan kepada inovasi sains dan teknologi.
Novoselov berkata inovasi teknologi di China telah bermula sejak sekian lama, namun FYP ke-12 dan ke-13, khususnya FYP ke-13, membawa perubahan ketara terhadap hala tuju pembangunan negara itu.
“FYP memberi tumpuan khusus kepada kemajuan sains dan teknologi. Saya telah bekerjasama dengan rakan-rakan saintis China selama bertahun-tahun dan saya sangat gembira dapat menyaksikan sendiri bagaimana dasar-dasar diterjemahkan kepada pencapaian teknologi yang nyata,” katanya.
Novoselov menerima Anugerah Persahabatan Kerajaan China pada 2020 dan 2021 serta dipilih sebagai felo asing Akademi Sains China pada 2023.













Tinggalkan Balasan