MOSTI Akan Bangunkan Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara Bagi Melindungi Teknologi Kritikal

KUALA LUMPUR, 22 Jun —  Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) sedang menerajui usaha mewujudkan Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara sebagai pendekatan strategik untuk membangunkan dan melindungi teknologi kritikal yang penting kepada negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata kerangka itu dibangunkan secara ‘whole-of-government’ bersama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memperkukuh keupayaan negara dalam bidang-bidang teknologi strategik .

Selain itu, kerangka berkenaan dijangka dapat mengurangkan kadar kebegantungan negara terhadap teknologi luar dalam sektor-sektor kritikal serta memperkukuh daya tahan negara dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

“Dalam landskap geopolitik global yang dinamik dan semakin mencabar, penguasaan teknologi bukan sekadar pemacu pertumbuhan ekonomi malah telah menjadi elemen penting kepada kedaulatan, keselamatan serta daya tahan negara kita,” tambahnya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohammad Yusof berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai perancangan MOSTI bersama dengan kementerian lain untuk membangunkan beberapa teknologi strategik yang dikenal pasti dan boleh diangkat sebagai satu agenda nasional.

Menurutnya, MOSTI turut memperkukuh kerjasama yang baik dengan KPT, institusi penyelidikan, industri serta syarikat strategik melalui pendekatan ‘demand-driven research’ sebagai satu langkah untuk mengenal pasti teknologi yang perlu dijadikan sebagai pendekatan strategik negara.

Terdahulu,  Mohammad Yusof berkata sebanyak 798 produk tempatan telah diluluskan logo Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dengan janaan nilai perolehan melebihi RM70 juta bagi tempoh Jun 2023 hingga Mei 2026.

Beliau menjawab menjawab soalan Ahmad Samsuri mengenai penilaian impak menyeluruh untuk insentif fiskal dalam sektor R&D sedia ada bagi meningkatkan kadar inovasi industri tempatan serta dasar terkini kerajaan untuk mendorong syarikat multinasional menjalankan aktiviti R&D substantif di Malaysia.