KUALA LUMPUR, 22 Jun — Sektor teknologi, produk perindustrian dan perkhidmatan serta perkhidmatan kewangan telah menarik gabungan aliran masuk bersih sebanyak RM319.8 juta minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Sektor teknologi mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM128.2 juta, produk perindustrian dan perkhidmatan (RM117.0 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM74.6 juta).
Menurut MBSB IB dalam Laporan Aliran Dana mingguan untuk minggu berakhir 19 Jun 2026, institusi asing meneruskan jualan bersih untuk minggu keenam berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM10.7 juta.
“Institusi asing merupakan penjual bersih pada dua daripada empat hari dagangan pada minggu tersebut, dengan aliran keluar dicatatkan pada Selasa (RM97.8 juta) dan Khamis (RM72.1 juta).
“Aliran masuk dicatatkan pada Jumaat (RM146.6 juta) dan Isnin (RM12.7 juta),” menurut bank pelaburan itu.
Tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih terbesar ialah penjagaan kesihatan (RM108.8 juta), telekomunikasi dan media (RM106.0 juta) serta pembinaan (RM57.8 juta).
Institusi tempatan terus mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-10 berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM318.2 juta.
Purata jumlah dagangan harian Bursa Malaysia menyaksikan penurunan yang ketara: pelabur runcit sebanyak 20.6 peratus, institusi tempatan (35.1 peratus) manakala institusi asing menyaksikan peningkatan sebanyak 41.3 peratus.
Sementara itu, di lapan pasaran Asia, pelabur asing mengakhiri jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk asing bersih sebanyak US$4.58 bilion.
“Aliran masuk asing bersih diterajui oleh Taiwan, diikuti Korea Selatan, India dan Filipina manakala aliran keluar tertumpu di Vietnam, Indonesia, Thailand dan Malaysia,” menurut MBSB IB.
Taiwan mengakhiri jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk asing terbesar di rantau ini sebanyak US$3.28 bilion.
Korea Selatan kembali kepada aliran masuk asing bersih selepas sembilan minggu berturut-turut mencatatkan aliran keluar, iaitu sebanyak US$1.20 bilion.
“Ini walaupun tekanan kos meningkat, dengan inflasi harga pengeluar naik kepada +8.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026 (Apr 2026: 7.2 peratus), peningkatan paling cepat sejak Julai 2022,” menurutnya.
Indonesia meneruskan aliran jualan bersihnya kepada enam minggu berturut-turut, dengan aliran keluar asing bersih sebanyak -US$50.7 juta.
Vietnam mencatatkan aliran keluar asing bersih untuk minggu ke-14 berturut-turut, dengan pelabur asing mencatatkan jualan bersih sebanyak US$110.2 juta.

















Tinggalkan Balasan