Penambahbaikan Sistem SST Mampu Pacu Persekitaran Cukai Lebih Cekap — EY

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Usaha penambahbaikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang merangkumi aspek meminimumkan cukai bertindih, memperluas asas cukai dan mengukuhkan aspek pematuhan, dapat mendorong mewujudkan persekitaran cukai yang lebih cekap bagi perniagaan.

Rakan Pengurusan Cukai EY Malaysia Farah Rosley berkata ini terutamanya pelepasan bagi perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang disasarkan selain penambahbaikan terhadap mekanisme pengecualian sedia ada yang mengurangkan kos cukai terkumpul dalam rantaian bekalan.

Pada masa sama, katanya, ini juga dapat mengekalkan SST sebagai cukai ke atas penggunaan akhir.

Bagaimanapun beliau menegaskan sebarang perubahan berkaitan perlu dilaksanakan berdasarkan panduan dasar yang jelas, tempoh rundingan yang mencukupi serta jangka masa peralihan yang sewajarnya.

Menurutnya, ini penting bagi membolehkan perniagaan mampu melakukan penyesuaian terhadap sistem serta proses mereka yang berkaitan. 

“Usaha mengekalkan kesederhanaan, kemudahan pematuhan dan kepastian untuk pembayar cukai perlu kekal menjadi pertimbangan utama sepanjang proses pembaharuan berkenaan,” katanya kepada Bernama melalui e-mel mengenai harapan EY bagi Belanjawan 2027.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.

Menjelaskan selanjutnya, Farah menekankan kerangka SST yang dapat menangani cabaran semasa dihadapi oleh perniagaan, termasuk cukai bertindih dan kesukaran mendapatkan pengecualian dapat membantu mewujudkan ekosistem cukai lebih seimbang.

Beliau menyifatkan langkah sedemikian membantu dari segi menyokong agenda pembaharuan fiskal kerajaan selain menyumbang kepada matlamat pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Pada 18 Ogos lepas, Anwar berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan SST untuk memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan Malaysia akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara dan akan dipertimbangkan jika terdapat beberapa ciri (GST) yang boleh diterima.

Dasar cukai, langkah fiskal bagi pembangunan jangka panjang

Mengenai jangkaan terhadap Belanjawan 2027, Farah berkata perniagaan dan individu boleh menjangkakan dasar cukai serta langkah fiskal yang bersasar diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan dalam bidang strategik yang penting kepada pembangunan jangka panjang Malaysia.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang memberi tumpuan kepada insentif berasaskan hasil, dengan menggalakkan penciptaan nilai ekonomi yang boleh diukur dan bukan hanya berdasarkan komitmen pelaburan.

Farah berkata ketika perniagaan terus beradaptasi dengan perkembangan pesat ekonomi digital, Belanjawan 2027 mungkin memperkenalkan atau menambah baik insentif cukai yang menggalakkan penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan analitik data.

“Langkah sedemikian dapat membantu perniagaan meningkatkan produktiviti, memacu inovasi serta memperkukuh daya saing mereka di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat penting bagi memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua sektor ekonomi.

Aktiviti ekonomi bernilai tinggi dijangka raih insentif cukai bersasar

Bagi menyokong pelaburan sektor swasta, Farah menjangkakan Belanjawan 2027 mungkin meneruskan pemberian insentif cukai bersasar bagi industri strategik dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Katanya, ini termasuk penambahbaikan terhadap insentif pelaburan sedia ada, sokongan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta aktiviti berteraskan inovasi, selain inisiatif yang menggalakkan pengkomersialan teknologi baharu.

Beliau turut menjangkakan usaha memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan pematuhan cukai akan diteruskan menerusi inisiatif seperti e-Invois, nombor pengenalan cukai (TIN), pemadanan data dan analitik.

“Langkah ini dapat meningkatkan ketelusan aktiviti ekonomi, merapatkan jurang pematuhan dan menambah baik kutipan hasil, di samping mengurangkan beban pentadbiran serta memberi lebih kejelasan kepada pembayar cukai yang mematuhi peraturan,” katanya.