KUALA LUMPUR, 2 Okt — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan atas komitmen Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, dalam mempererat hubungan dua hala sepanjang tempoh perkhidmatannya di negara ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata komitmen itu, merangkumi usaha berterusan beliau dalam mendekatkan kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.
Penghargaan itu disampaikan beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini, semasa menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ouyang di pejabatnya di Putrajaya hari ini, bersempena dengan penamatan tempoh perkhidmatan diplomat itu di Malaysia.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, tentunya banyak pengalaman, pencapaian dan kenangan yang terbina bersama.
“Terima kasih TYT Ouyang atas segala khidmat dan persahabatan sepanjang berada di Malaysia. Saya mendoakan semoga beliau terus diberikan kejayaan dalam apa jua amanah selepas ini dan semoga hubungan erat Malaysia-China terus berkembang demi kepentingan kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya.
Ahmad Zahid memaklumkan dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-China yang terus berkembang serta ruang kerjasama yang boleh diterokai pada masa hadapan.
“Bagi Malaysia, hubungan yang telah dibina sekian lama ini perlu terus diperkukuh berasaskan saling hormat-menghormati dan manfaat bersama,” katanya.
Ouyang yang merupakan Duta Besar China ke Malaysia ke-16, menamatkan perkhidmatannya di Malaysia selepas berkhidmat selama hampir lima tahun 10 bulan.















Tinggalkan Balasan