Duta Baharu Malaysia Serah Surat Tauliah Kepada Presiden Vietnam

PHNOM PENH, 4 Okt — Duta Besar Malaysia ke Vietnam yang baharu dilantik Jamal Sharifuddin Johan berikrar untuk mempercepat kerjasama lima dekad dengan Hanoi, dengan tenaga mampan dan ekonomi halal sebagai bidang keutamaan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif yang dinaik taraf antara kedua-dua negara.

Selepas menyerahkan surat tauliah kepada Presiden Vietnam To Lam pada 3 Okt, beliau secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia ke Vietnam serta menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

“Ini termasuk bidang yang mempunyai kepentingan bersama seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga mampan menerusi Grid Kuasa ASEAN, ekonomi halal, perikanan, pelancongan serta hubungan antara rakyat,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama pada Ahad.

Pada majlis yang berlangsung di Istana Presiden di ibu negara Hanoi itu, To Lam menzahirkan rasa puas hati terhadap kemajuan hubungan dua hala serta menegaskan sokongan kerajaan Vietnam kepada duta besar baharu itu dalam melaksanakan tugasnya untuk memajukan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Di rantau ini, Vietnam kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia, dengan perdagangan dua hala mencecah US$22 bilion (RM92 bilion) tahun lepas.

Kedua-dua negara yang ekonominya banyak dipacu oleh eksport itu menjalin hubungan diplomatik pada 30 Mac 1973.

Hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada Ogos 2015 sebelum ditingkatkan lagi kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024.

Malaysia dan Vietnam telah memeterai pelbagai perjanjian serta memorandum persefahaman yang merangkumi bidang antaranya pelaburan, sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, pendidikan, pertahanan, pertanian, pelancongan serta pekerjaan, menurut kenyataan itu.