Bilangan perusahaan pelaburan asing di negara China terus meningkat pada masa ini.
Demikian didedahkan seorang pegawai dari Kementerian Perdagangan China dalam sidang akhbar di sini Isnin.
Jumlah syarikat asing yang berdaftar di China meningkat pada kadar purata 4.5 peratus tahun ke tahun bagi tempoh dari akhir tahun 2020 hingga akhir tahun 2025, dengan mencecah 533,000 unit, manakala kelulusan pelaburan asing direkodkan menghampiri USD4 trilion (RM16.6 trilion).
Menurut statistik tidak lengkap, lebih 8,000 syarikat asing meningkatkan pelaburan mereka di China pada 2025, mencatatkan pertumbuhan melebihi 10 peratus tahun ke tahun.
Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, hampir 4,000 syarikat asing memilih membuat pelaburan tambahan.
Dari segi sumbangan kepada ekonomi negara ini, hasil cukai yang disumbangkan oleh syarikat asing setiap tahun kekal pada paras sekitar RMB2.5 trilion (RM1.53 trilion), mewakili kira-kira satu pertujuh keseluruhan pendapatan cukai negara ini sejak tahun 2020. Dari segi peluang pekerjaan pula, syarikat asing telah menyerap purata lebih 30 juta pekerja setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Naib Menteri Perdagangan yang juga Naib Wakil Rundingan Perdagangan Antarabangsa China, Ling Ji berkata, buat masa ini, China kekal berada di tangga pertama dalam ranking negara membangun berhubung destinasi pelaburan asing, dan juga kekal sebagai destinasi utama bagi pelaburan rentas sempadan di peringkat global.
“Kami akan terus meluaskan keterbukaan, mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik untuk pelabur asing, di samping memantapkan asas bagi mempelawa pelabur asing,” kata pegawai itu.













Tinggalkan Balasan