KUALA LUMPUR, 23 Jun — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan rundingan damai di Asia Barat telah menunjukkan kemajuan, kata seorang penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu naik kepada 4.1440/1550 berbanding dolar AS daripada paras 4.1465/1500 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan AS telah membenarkan Iran menjual minyaknya di pasaran antarabangsa, satu petunjuk bahawa rundingan damai sedang berjalan lancar.
“Hasilnya, harga minyak mentah WTI dan Brent masing-masing berlegar sekitar US$74.29 dan US$77.90 setong. Peniaga nampaknya bergelut dengan prospek harga minyak dan inflasi lebih rendah, tetapi masih tidak pasti mengenai potensi kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS,” katanya kepada Bernama hari ini.
Di peringkat tempatan, Mohd Afzanizam berkata langkah terbaru Kementerian Kewangan untuk merasionalisasikan subsidi diesel boleh dianggap positif kredit.
Beliau berkata mekanisme baharu itu akan memanfaatkan MyKad untuk mengagihkan subsidi diesel yang boleh menghasilkan penjimatan RM2 bilion.
“Ia menunjukkan bahawa kerajaan secara proaktif bertindak balas terhadap cabaran semasa, tetapi pada masa yang sama, ia tetap menyedari kesannya terhadap rakyat. Saya menjangkakan ringgit agak stabil hari ini,” katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.7345/7419 daripada 4.7506/7547 ketika ditutup pada Isnin, bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.4887/4973 daripada 5.4850/4896 dan tidak berubah berbanding yen Jepun pada 2.5648/5690 daripada 2.5635/5658.
Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2030/2085 daripada 3.2069/2098 ketika ditutup semalam, melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.5637/5899 daripada 12.5919/6075.
Dalam pada itu, ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 232.2/232.7 daripada 232.3/232.6 pada Isinin dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.78/6.79 daripada penutupan semalam.

















Tinggalkan Balasan