KUALA LUMPUR, 25 Jun — Denda trafik bagi kesalahan serius disaran dikenakan mengikut kadar pendapatan dan keupayaan kewangan pesalah bagi memastikan hukuman dapat memberikan kesan pencegahan yang sama rata dalam kalangan masyarakat, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Lee, yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) berkata sistem denda kadar tetap seperti sekarang tidak memberi kesan yang sama kepada pesalah, kerana denda yang sama rata mungkin hanya memberi kesan yang sedikit kepada mereka yang berpendapatan tinggi dalam masa yang sama membebankan mereka yang berpendapatan rendah.
“Bagi seseorang yang mempunyai kemampuan kewangan yang besar, denda sebanyak RM500 atau RM1,000 mungkin memberi kesan sedikit. Sebaliknya, jumlah yang sama boleh membebankan individu berpendapatan rendah.
“Oleh itu, adalah wajar untuk mempertimbangkan pendekatan lebih saksama bagi kesalahan trafik tertentu yang serius ditentukan, jika praktikal dan sesuai, mengikut keupayaan kewangan atau tahap pendapatan pesalah.
“Sistem sedemikian telah dilaksanakan di beberapa negara, terutamanya bagi kesalahan trafik yang serius, bagi memastikan hukuman memberi kesan yang sama rata merentasi kumpulan pendapatan yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata beberapa negara telah berjaya melaksanakan sistem denda berasaskan pendapatan atau berperingkat bagi memastikan sekatan undang-undang memberi kesan yang lebih saksama dalam kalangan masyarakat.
Sambil mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Pengangkutan Jalan melalui hukuman yang lebih berat, beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan denda harus berpandukan kepada prinsip keadilan, perkadaran dan keberkesanan.
“Objektif denda trafik bukan sekadar untuk menghukum tetapi untuk mencegah. Pencegahan hanya berkesan apabila pesalah benar-benar merasakan impak akibat daripada tindakannya. Hukuman yang pada kadar yang kecil bagi pesalah kaya mungkin gagal mencapai tujuan tersebut,” katanya.
Namun, pada masa sama Lee mengingatkan sebarang peralihan kepada rangka kerja berasaskan pendapatan perlu telus, praktikal dari segi pentadbiran dan dilindungi daripada potensi penyalahgunaan.
Bagi mencapai matlamat ini, beliau menggesa kerajaan untuk mengkaji amalan terbaik antarabangsa dan berunding dengan pihak berkepentingan yang berkaitan sebelum memperkenalkan sebarang rangka kerja denda berperingkat.
Beliau juga mengesyorkan agar pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menangani pesalah jalan raya yang kerap melakukan kesilapan, termasuk potongan mata, pendidikan keselamatan jalan raya mandatori, penggantungan lesen dan khidmat masyarakat wajib yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya.
“Keselamatan jalan raya pada asasnya adalah tentang melindungi nyawa. Undang-undang mesti tegas terhadap mereka yang membahayakan nyawa orang lain, namun ia juga perlu adil dengan pelaksanaan yang seimbang.
“Dengan penguatkuasaan yang berkesan, denda saksama dan pendidikan awam secara berterusan, kita dapat mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” kata Lee.

















Tinggalkan Balasan