BUDI Diesel RM2.10 Seliter Ringankan Kos Operasi Pengguna, Industri

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Pelaksanaan penuh BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula hari ini memberi kelegaan kepada pengguna kenderaan serta pengusaha yang bergantung kepada bahan api itu apabila mereka menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Bagi mereka penetapan harga itu bukan sekadar perubahan di pam minyak tetapi memberi kesan langsung terhadap kos perjalanan, operasi perniagaan serta perkhidmatan yang menggunakan kenderaan diesel.

Pengusaha kafe di ibu kota, Muhammad Arif Saiful Bahari, 29, berkata penurunan harga diesel itu amat membantu peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian.

“Sebelum ini diesel bernilai RM50 mampu bertahan kira-kira tiga hari, dengan perbelanjaan hampir RM100 seminggu. Kini jumlah yang sama boleh digunakan lebih seminggu, sekali gus banyak membantu pemilik perniagaan terutama yang perlu mengangkut barang,” katanya.

Pesara Shahrul Azuan Mohamad, 61, berkata subsidi diesel itu mencukupi untuk menampung purata penggunaan kenderaannya dan wang yang dijimatkan boleh digunakan bagi keperluan lain.

Di TERENGGANU, pemilik syarikat kontraktor Din Mohamad, 32, berkata penurunan harga diesel membantu mengurangkan kos operasi harian termasuk penghantaran barang dan peralatan ke tapak projek, memandangkan dia membelanjakan kira-kira RM100 hingga RM150 sehari untuk bahan api itu. 

“Syukur sangat apabila harga diesel turun kerana selama ini kami berdepan kos operasi yang tinggi, termasuk pengangkutan dan penggunaan jentera di tapak projek. Sebelum ini isi penuh tangki Toyota Hilux boleh mencecah RM400 tetapi hari ini boleh senyum sedikit apabila melihat resit sekitar RM200 sahaja,” katanya ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Tok Adis, Kuala Terengganu.

Seorang lagi pemilik syarikat kontraktor, Mohd Iffat Mohd Zain, 35, berkata penurunan harga diesel itu memberi ruang kepada pemain industri mengekalkan kadar perkhidmatan pada harga yang lebih munasabah.

“Syarikat kami menawarkan perkhidmatan memotong rumput dan mengangkut barang. Sebelum ini agak sukar kerana harga diesel tinggi, sedangkan caj perkhidmatan perlu dikekalkan kerana kami mengambil kira kemampuan pelanggan. Syarikat kami sebelum ini tidak menerima BUDI dan perlu membayar harga penuh diesel, syukur permohonan tambahan 100 liter BUDI MADANI diluluskan Sabtu lepas,” katanya.

Di PAHANG, Khirrul Nirwan Bahaudin, 48, berkata pelaksanaan penuh BUDI Diesel memudahkannya menikmati subsidi bahan api tanpa perlu menunggu bantuan tunai dikreditkan.

“Kaedah ini lebih mudah kerana apabila mengisi minyak, kami terus membeli pada harga subsidi di pam dan setakat ini kuota diberikan mencukupi,” katanya

Adnan Mohd, 53, pula berkata penetapan harga RM2.10 seliter memberi perlindungan kepada pengguna diesel sekiranya berlaku peningkatan mendadak harga pasaran bahan api itu, selain membolehkan lebih ramai pemilik kenderaan diesel persendirian menikmati subsidi melalui sistem MyKad berbanding skim tunai sebelum ini.

Di PULAU PINANG, Nor Asman Noordin, 51, berkata inisiatif itu membantu mengurangkan perbelanjaan perjalanan hariannya, namun berharap kuota subsidi dapat ditambah bagi memenuhi keperluan bulanan.

“Inisiatif ini memang banyak membantu dan kami bersyukur, cuma kuota yang ada sekarang kadangkala tidak mencukupi hingga hujung bulan. Kami berharap kerajaan dapat menambah kuota subsidi diesel,” kata pekerja sendiri dari Sungai Petani itu.

Bagi Muhammad Khairul Md Yusof, 27, harga diesel yang lebih rendah membolehkan dia mengurangkan kos penghantaran, sekali gus menawarkan caj perkhidmatan yang lebih berpatutan kepada pelanggan selain meningkatkan semula tempahan yang diterima.

Pengusaha perkhidmatan kenderaan tunda, S. Mahendran, 39, pula berkata penurunan harga diesel turut memberi kesan positif kepada perniagaannya yang telah diusahakan lebih 20 tahun apabila kos operasi dapat dikurangkan.

Di SELANGOR, pemain industri pengangkutan dan logistik Daniel Khoo, 40, berkata penetapan harga diesel RM2.10 seliter membantu industri dan pengguna secara keseluruhan, namun berharap kuota subsidi sebanyak 5,000 liter sebulan bagi pengusaha logistik dan industri pengangkutan berat dapat ditambah bagi memastikan kelangsungan operasi.

Di PERLIS, kontraktor Muhammad Faza Fikri, 32, berkata penurunan harga diesel membantu mengurangkan kos operasi hariannya kerana dia bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton untuk ke tapak kerja.

Pemilik kedai barangan pertanian yang hanya mahu dikenali sebagai Penney, 32, turut merasai kelegaan kerana menggunakan Toyota Hilux untuk urusan perniagaan sejak 13 tahun lepas. 

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara bakal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI Diesel bermula hari ini. 

Pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.