Dawai Halus Tersangkut Punca Letupan Kecil LRT Laluan Kelana Jaya

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Dawai halus yang dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa dikenal pasti sebagai punca insiden letupan kecil melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights, semalam.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan mendapati dawai halus yang telah cair di lokasi kejadian itu bukan sebahagian daripada komponen tren mahupun infrastruktur landasan.

Menurut kenyataan tersebut tren bernombor 57 yang terlibat dalam kejadian pada 7.18 malam itu dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

“Pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal mendapati tiada kerosakan dikesan pada tren atau komponennya,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL memaklumkan pemeriksaan ke atas landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya turut mendapati infrastruktur berkenaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk operasi.

“Pemeriksaan terperinci diteruskan selepas tamat waktu operasi sebagai langkah pengesahan bagi memastikan keselamatan perkhidmatan.

“Rapid KL memandang serius setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dan akan terus menjalankan siasatan lanjut serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” menurut kenyataan itu.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah tren LRT mula bergerak dari sebuah stesen sebelum kedengaran bunyi letupan serta kelihatan percikan api.