MPK Sita 400 Unit Cecair, 70 Peranti Vape Bernilai RM15,000

KANGAR, 4 Julai — Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyita 400 unit cecair rokok elektronik atau vape dan 70 peranti berkenaan bernilai RM15,000 dalam operasi di sebuah premis di Jalan Padang Behor di sini malam tadi.

Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata sitaan dibuat menerusi operasi vape dari 10.30 malam hingga 1 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK. 

Tindakan itu selaras dengan pewartaan kerajaan negeri tidak membenarkan pengoperasian premis penjualan vape di Perlis berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

“Premis itu juga telah beberapa kali dikompaun dan notis menghentikan perniagaan dikeluarkan pada Ogos 2025 namun premis itu masih menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata undang-undang kecil itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM200 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.