MOTAC Lulus RM400,000 Naik Taraf Gelanggang Gasing Kampung Pangkah Delima

MELAKA, 5 Julai — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meluluskan peruntukan RM400,000 bagi menaik taraf Gelanggang Gasing Pangkah Delima di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang di sini, sekali gus memperkasa kemudahan serta memartabatkan pembangunan sukan warisan di Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata peruntukan bagi projek itu telah diluluskan dan kerja-kerja naik taraf gelanggang berkenaan dijangka bermula sebaik sahaja Pertandingan Gasing Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2026 berakhir.

Beliau berkata apabila siap kelak, gelanggang itu bukan sahaja akan menjadi lokasi penganjuran pertandingan, malah berfungsi sebagai pusat latihan dan pembangunan bakat generasi muda serta venue kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Gelanggang ini juga diharap menjadi mercu tanda pelancongan warisan yang membanggakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek khususnya dan Melaka amnya,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pertandingan Gasing Antarabangsa DMDI 2026 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Rahmad berkata pihaknya menyokong penuh usaha menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan dalam kalendar negara anggota DMDI selain dimasukkan sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancongan Melaka.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu juga wajar diperluaskan dengan penyertaan pelbagai permainan tradisional lain seperti tarik tali, sepak bulu ayam, congkak dan galah panjang bagi terus memelihara serta memartabatkan warisan budaya Melayu.

Sementara itu Pengerusi Pertandingan Datuk Abu Bakar Abdul berkata sebanyak 20 pasukan menyertai Pertandingan Gasing Antarabangsa DMDI 2026 termasuk dua pasukan dari Indonesia, satu dari Singapura serta selebihnya dari seluruh negara.

Beliau berkata sambutan edisi kedua tahun ini lebih memberangsangkan dengan penyertaan meningkat kepada 20 pasukan berbanding 16 pasukan pada edisi sulung tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan penyertaan itu menunjukkan minat terhadap sukan warisan itu yang kian bertambah, sekali gus menjadi petanda positif terhadap usaha memperluaskan permainan gasing Malaysia ke negara lain.