China, Ecuador Ikrar Perkasa Kerjasama Dua Hala

China bersedia bersinergi dengan Ecuador bagi meningkatkan hubungan bilateral ke tahap baharu dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Demikian dinyatakan Presiden China Xi Jinping dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Ecuador Daniel Roy-Gilchrist Noboa Azin di Beijing pada Selasa.

Xi berkata China dan Ecuador perlu memperkukuh rasa percaya  antara kedua-dua negara dan terus saling menyokong dalam isu yang melibatkan kepentingan teras.

Menurut beliau, kedua-dua pihak hendaklah meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing, melaksanakan rancangan kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta program kerjasama dalam bidang sumber tenaga, industri perlombongan, pembinaan infrastruktur, kewangan dan lain-lain.

Xi juga menyarankan kedua-dua pihak aktif mengkaji kerjasama melibatkan ekonomi digital, pembangunan hijau, tenaga baharu dan kecerdasan buatan (AI), di samping terus meneroka potensi perjanjian perdagangan bebas demi membawa limpahan manfaat kepada perusahaan dan pengguna kedua-dua negara.

Beliau menegaskan China menyokong negara-negara Amerika Latin mempertahankan kemerdekaan dan kebebasan serta menjalankan kerjasama dengan luar dan mengekalkan kedamaian serantau demi kepentingan negara sendiri.

Noboa pula berkata Ecuador amat mementingkan kerjasama dengan China dan berhasrat memperkasa kerjasama saling menguntungkan dalam bidang-bidang seperti ekonomi dan perdagangan, kewangan, industri perlombongan, tenaga boleh diperbaharui, sains dan teknologi serta kebudayaan.

Tambah beliau, Ecuador juga berharap memperluas pengeksportan terhadap China dan mengalu-alukan lebih banyak perusahaan China melabur di negara itu.