KINSHASA, 19 Ogos — Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) masih jauh daripada terkawal dengan 5,021 kes disahkan dan 2,378 kematian direkodkan setakat 16 Ogos, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.
Menurut laporan terbaharu Pejabat Serantau WHO bagi Afrika yang dikeluarkan pada Selasa, kes berkenaan dikesan di 55 zon kesihatan merangkumi enam wilayah, dengan kadar kematian kes sebanyak 47.4 peratus.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata wabak itu telah mendahului usaha tindak balas dengan ketara, sekali gus meningkatkan risiko penularan lanjut di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian pada sesi pembukaan mesyuarat jawatankuasa kecemasan WHO yang diadakan bagi menilai wabak itu, dan diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada 17 Mei.
Ketika ini, belum ada vaksin atau rawatan yang diluluskan bagi virus berkenaan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Isnin memberi amaran bahawa wabak itu boleh menjadi epidemik Ebola paling membawa maut pernah direkodkan di dunia sekiranya trajektorinya tidak segera diubah.
“Ketika ini, wabak itu meragut kira-kira satu nyawa setiap 30 minit.
“Sekiranya trajektorinya tidak segera diubah, wabak itu berisiko menjadi wabak Ebola paling membawa maut pernah direkodkan di dunia,” menurut Africa CDC.













Tinggalkan Balasan