SAMENTA Saran Laporan Berkala, Elak Kronisme Pembiayaan PMKS

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Agensi yang menyediakan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disaran menerbitkan laporan berkala tentang penerima dana bagi meningkatkan ketelusan serta mengurangkan ruang penyalahgunaan, kronisme dan campur tangan politik.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata laporan itu boleh merangkumi data peringkat tinggi seperti kadar kelulusan, purata tempoh proses dan kadar kegagalan bayaran mengikut sektor.

Beliau berkata langkah itu penting walaupun sebahagian besar agensi terbabit telah beralih kepada sistem digital bagi meningkatkan ketelusan dan menghapuskan peranan orang tengah.

“Walaupun sebahagian besar agensi terlibat telah beralih ke sistem digital demi ketelusan serta untuk menghapuskan orang tengah, sistem digital ini masih boleh dimanipulasi oleh pihak dalaman yang mahir tentang selok-belok proses tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng turut mencadangkan mekanisme perlindungan kepada pemberi maklumat diperkenalkan bagi membolehkan salah laku, pakatan sulit atau kronisme dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau unit integriti kementerian berkaitan tanpa rasa takut terhadap tindak balas.

Beliau berkata SAMENTA menyambut baik kenyataan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim untuk membanteras budaya surat sokongan politik, “kabel” dan aturan pembiayaan dalaman.

Beliau menyifatkan sebarang usaha memintas tadbir urus pembiayaan yang betul, termasuk melalui penggunaan surat sokongan politik, sebagai tindakan sabotaj ekonomi.

Budaya naungan politik dan kronisme dalam kelulusan dana, katanya, telah memesongkan ekosistem keusahawanan apabila pembiayaan awam tidak lagi diagihkan berdasarkan keupayaan sebenar usahawan.

“Apabila dana awam diagihkan berdasarkan kedudukan atau keahlian politik peminjam dan bukannya kebolehan seseorang usahawan, PMKS yang sepatutnya mendapat pembiayaan akhirnya diketepikan,” katanya.

Beliau berkata agensi yang diberi mandat membangunkan PMKS juga berisiko terbeban dengan pinjaman tidak berbayar sekiranya pembiayaan diluluskan kepada pihak yang tidak mempunyai komitmen dan keupayaan sebenar.