BEIJING, 7 Julai — Perancang ekonomi utama China pada Selasa memaklumkan sebanyak 30 juta yuan (kira-kira US$4.4 juta) dana bantuan bencana alam pusat telah diperuntukkan bagi menyokong kerja-kerja menyelamat dan kerja-kerja pemulihan semula tempatan selepas kejadian tanah runtuh melanda sebuah kampung di Wilayah Gansu, barat laut China, lapor Agensi Berita Xinhua.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Kebangsaan, dana berkenaan akan digunakan bagi menyokong usaha memulihkan dan membina semula infrastruktur serta kemudahan perkhidmatan awam.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira pukul 6.56 pagi Selasa di sebuah kampung di Perbandaran Nanhe, Daerah Tanchang dalam Bandar Longnan.
Seramai 33 orang dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan berkenaan.
Susulan insiden itu, suruhanjaya kebangsaan bagi pencegahan, pengurangan dan bantuan bencana telah mengaktifkan tindak balas kecemasan bantuan bencana Tahap – 4.
Pasukan penyelamat memaklumkan setakat pukul 2.50 petang, seramai 21 mangsa telah berjaya dibawa keluar, namun lima daripada mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran kini sedang giat dijalankan bagi mengesan 12 lagi mangsa yang masih hilang.













Tinggalkan Balasan