SEOUL, 26 Ogos — Polis Korea Selatan pada Rabu berkata mereka sedang menyiasat e-mel tanpa nama yang mengandungi ancaman bom terhadap kira-kira 40 mahkamah di seluruh negara, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut polis, kira-kira 40 mahkamah termasuk Mahkamah Daerah Timur Seoul, Mahkamah Daerah Incheon, Mahkamah Daerah Chuncheon, Mahkamah Daerah Daejeon, Mahkamah Tinggi Gwangju dan Mahkamah Tinggi Busan menerima e-mel ancaman yang mendakwa bahan letupan telah dipasang.
E-mel berkenaan dilaporkan mendakwa bom buatan sendiri telah diletakkan di mahkamah terbabit dan akan diletupkan pada waktu tertentu.
Polis mengerahkan pasukan tindak balas awal dan unit khas ke lokasi terbabit, namun menilai kemungkinan bahan letupan sebenar dipasang adalah rendah.
Mahkamah Agung turut mengesahkan lebih 40 mahkamah menerima e-mel ancaman berkenaan dan berkata polis telah selesai menjalankan pemeriksaan serta operasi lain di premis terbabit.
Agensi Polis Kebangsaan Korea mengesyaki e-mel ancaman terbaharu itu mungkin sebahagian daripada siri ancaman palsu yang dipercayai berasal dari Jepun dan berulang kali dihantar sejak 2023.













Tinggalkan Balasan