Jerebu: IPU Indonesia Cecah Tahap Berbahaya 573 Di Kalimantan Tengah

JAKARTA, 26 Ogos — Pencemaran udara akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah mencapai tahap berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak kepada 573 di beberapa kawasan di Kalimantan Tengah, sambil pihak berkuasa mempertingkatkan langkah-langkah untuk melindungi kesihatan awam.

Pengarah Kesihatan Persekitaran Kementerian Kesihatan Then Suyanti berkata pemantauan kualiti udara daripada 17 stesen setakat 5 pagi Rabu menunjukkan bacaan berkenaan di Jekan Raya, Palangka Raya, Kalimantan Tengah, manakala Kabupaten Muaro Jambi di Jambi turut merekodkan tahap berbahaya iaitu 302.

Beliau berkata beberapa kawasan lain merekodkan kualiti udara yang sangat tidak sihat termasuk Pelalawan di Riau, Penukal Abab Lematang Ilir dan Ogan Ilir (Sumatera Selatan), Pontianak Tenggara di Kalimantan Barat serta Gunung Mas dan Katingan di Kalimantan Tengah.

“Bagi kategori sangat tidak sihat, iaitu antara 201 hingga 300, ia memudaratkan dan meningkatkan risiko kesihatan, terutamanya bagi golongan sensitif, manakala orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di luar rumah terlalu lama. Bagi kategori berbahaya pula, semua pihak perlu mengelakkan aktiviti luar,” katanya dalam satu taklimat media dalam talian pada Rabu.

Then berkata kementerian sedang menyediakan pekeliling mengenai pengurangan aktiviti luar termasuk membenarkan sekolah melaksanakan pembelajaran jarak jauh apabila kualiti udara semakin merosot.

“Pekeliling itu sedang disediakan. Ia mungkin dikeluarkan dalam tempoh dua hari akan datang oleh ketua setiausaha,” katanya.

Dalam taklimat sama, Ketua Pusat Krisis Kesihatan Kementerian Kesihatan Agus Jamaludin berkata kebakaran itu menjejaskan kira-kira 3.4 juta penduduk di tujuh wilayah iaitu Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Pulau Sumatera, serta Kalimantan Barat, Tengah, Timur dan Selatan.

“Wilayah-wilayah ini telah mengisytiharkan status amaran kecemasan, bukan status tindak balas kecemasan. Kami berharap usaha memadamkan kebakaran dapat diselesaikan secara berperingkat supaya jerebu yang terhasil dapat dikurangkan,” katanya.

Agus berkata 42 orang mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi, kedua-duanya mangsa kebakaran di Kalimantan Selatan, mengalami kecederaan serius atau dimasukkan ke hospital.

Tiada kematian atau pemindahan penduduk dilaporkan sementara 321 anggota kesihatan telah digerakkan ke seluruh wilayah yang terjejas.

Sementara itu, pemantauan satelit terkini oleh Kementerian Perhutanan menunjukkan risiko kebakaran masih meluas, dengan 805 titik panas tahap keyakinan tinggi dan 11,313 titik panas tahap keyakinan sederhana dikesan di seluruh negara setakat 9.11 malam Selasa.

Menurut kementerian itu, antara enam wilayah keutamaan, Sumatera Selatan mencatatkan bilangan titik panas tahap keyakinan tinggi terbanyak iaitu 239, diikuti Kalimantan Tengah (113), Kalimantan Selatan (89) dan Kalimantan Barat (86), manakala Jambi mencatatkan tujuh dan Riau satu.

Bagi titik panas tahap keyakinan sederhana, Kalimantan Barat mencatatkan 2,447, diikuti Kalimantan Tengah (2,168), Sumatera Selatan (1,161), Kalimantan Selatan (710), Riau (199) dan Jambi sebanyak 197.