China Sedia Hulur Lebih Banyak Bantuan dan Sokongan kepada Venezuela

China memberikan perhatian tinggi terhadap bencana gempa bumi yang berlaku di Venezuela, dan bersedia menghulurkan lebih banyak bantuan dan sokongan kepada negara itu, kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning pada Selasa.

Dalam sidang media, Mao berkata Presiden Xi Jinping telah mengutuskan perutusan takziah kepada Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodríguez. 

Katanya kerajaan China telah menambah bantuan kecemasan tanpa syarat bernilai RMB100 juta (RM59.84 juta) kepada Venezuela, sebagai tambahan kepada bantuan tunai yang diberikan sebelum ini.

Selain itu, Persatuan Palang Merah China turut menyumbang bantuan tunai kecemasan berjumlah USD300,000 kepada Persatuan Palang Merah Venezuela. 

Dalam perkembangan sama, kumpulan pertama barang bantuan kemanusiaan seberat lebih 80 tan merangkumi generator, khemah, selimut dan lain-lain yang disumbangkan China telah tiba di Venezuela pada Selasa.

Mao memaklumkan, China turut menyediakan imej satelit kawasan yang dilanda bencana kepada Venezuela. 

Selain itu, syarikat China dan persatuan perantau China di Venezuela juga menyediakan sejumlah besar peralatan mekanikal dan makanan kepada mereka yang terjejas bencana.

Menurut beliau, China juga bersedia untuk terus menyalurkan lebih banyak sokongan dan bantuan berdasarkan perkembangan situasi bencana di Venezuela.