Imigresen Kesan Aktiviti Mengemis Didalangi Warga Indonesia, Eksploitasi OKU Tempatan

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Aktiviti mengemis yang dipercayai didalangi warga Indonesia dengan memanipulasi orang kurang upaya (OKU) penglihatan tempatan dikesan selepas Jabatan Imigresen menahan lima wanita dalam operasi sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu, yang bermula pada 10 malam, dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melakukan pemeriksaan terhadap lima warga tempatan dan lima wanita warga Indonesia berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun.

Beliau berkata semakan mendapati dua daripada warga Indonesia terbabit menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembantu rumah dan Pas Lawatan Sosial.

“Seorang daripada mereka didapati tinggal lebih masa manakala dua lagi tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati aktiviti mengemis itu dipercayai didalangi warga Indonesia yang memanipulasi warga tempatan berstatus OKU penglihatan bagi meraih simpati dan mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.

Beliau berkata warga Indonesia terbabit akan memimpin individu OKU itu ke lokasi tumpuan awam, khususnya kawasan kedai makan pada waktu malam, sambil berpura-pura sebagai pasangan suami isteri bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Orang awam yang memberi sumbangan akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah mereka menjalankan aktiviti jualan.

“Kegiatan ini dipercayai memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan telah beroperasi sejak awal Januari tahun ini,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya turut menyita tiga pasport Indonesia, beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu dan wang tunai RM159 yang disyaki hasil aktiviti berkenaan.

Beliau berkata semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perenggan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.