KPKT Salur RM430.3 Juta Pacu Kesejahteraan, Kelestarian Negeri Sembilan Dalam Tempoh Empat Tahun

SEREMBAN, 11 Julai — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM430.3 juta kepada Negeri Sembilan bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama merangkumi pelbagai subprojek dan komponen pelaksanaan dari 2023 hingga tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM119.6 juta diperuntukkan untuk tempoh Rolling Plan 1 (RP1) pada tahun ini bagi memperkukuh pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat. 

Beliau berkata sebanyak RM115.5 juta daripada peruntukan tahun ini adalah untuk membiayai Projek Pembangunan KPKT yang diluluskan dalam tempoh RP1 manakala baki RM4.05 juta ialah peruntukan tambahan yang disalurkan khusus untuk memacu agenda pembangunan perbandaran negeri itu.

“Dana tambahan ini merangkumi pembiayaan bagi Kajian Rancangan Pemajuan Negeri Sembilan 2025-2026 bernilai RM3 juta, inisiatif Program Bandar Selamat berjumlah RM750 ribu dan Program Bandar Pintar yang berjumlah RM300 ribu.

“Peruntukan ini bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Negeri Sembilan menikmati akses kepada perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang selesa dan persekitaran yang lebih mampan serta sejahtera,” katanya.

Nga berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar.  

Beliau berkata sebahagian besar peruntukan disalurkan itu khusus untuk memperkukuh agenda perumahan rakyat melalui pembangunan Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) serta agenda penyelenggaraan perumahan strata di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Peruntukan turut memfokuskan agenda kelestarian persekitaran melalui pengurusan sisa pepejal secara mampan selain turut menyalurkan dana bagi pemerkasaan pembangunan kemudahan awam yang merangkumi usaha menaik taraf pasar, gerai dan dewan masyarakat demi merancakkan sosioekonomi setempat.

Nga berkata bagi melengkapkan ekosistem kesejahteraan, KPKT juga tidak mengabaikan aspek keselamatan komuniti menerusi pembinaan balai bomba baharu, pembangunan bandar dan desa termasuk projek Kampung Baru serta inisiatif kesejahteraan masyarakat melalui penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI). 

Pada sesi lawatan kerja hari ini, beliau meninjau pelbagai projek pembangunan dan kemudahan awam di beberapa daerah, antaranya projek membaik pulih Medan Niaga Bahau, Program Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) di Taman Cempaka dan pembinaan kemudahan Rekreasi MADANI di Taman Awam Bandar Seri Jempol.

Lawatan kerja diteruskan ke Jelebu melibatkan projek menaik taraf gerai Majlis Daerah Jelebu di Durian Tipus dan dewan terbuka gelanggang bola keranjang di Kampung Baru Sungai Muntoh. 

Seterusnya, program di Seremban melibatkan Majlis Penyerahan Peruntukan Penyelenggaraan kepada 24 RIBI di Seremban Baptist Church dan projek di bawah TPPM melibatkan kerja mengecat Rumah Pangsa Lobak serta penggantian lif di Apartment Casa Prima.

Nga berkata  KPKT komited memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berimpak tinggi demi manfaat rakyat.

Dalam pada itu, penerima bantuan RIBI, Paderi Gereja Katolik Immaculate Conception Port Dickson Edwin Peter, 62, berkata pihaknya menerima bantuan sebanyak RM224,000 bagi melaksanakan kerja membaik pulih bumbung dan beberapa struktur bangunan gereja yang uzur.

“Bangunan gereja sudah berusia lebih 100 tahun dan banyak kemudahan memerlukan penyelenggaraan termasuk tandas. Namun keutamaan kami sekarang ialah membaiki bumbung kerana keadaannya semakin berkarat dan menipis.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada KPKT atas kelulusan peruntukan ini yang amat bermakna kepada lebih 1,000 komuniti gereja,” katanya kepada Bernama di sini.

Timbalan Pengerusi Baptist Church Seremban Vincent Chong, 70, berkata peruntukan sebanyak RM73,000 yang diterima pihaknya akan digunakan untuk membaiki beberapa struktur bumbung yang uzur.

Beliau berkata gereja berusia 70 tahun itu adalah simbolik kepada warisan keagamaan dan perpaduan masyarakat setempat yang dipupuk sejak beberapa dekad lepas.

“Terima kasih kepada KPKT dan kerajaan MADANI kerana memberi bantuan kepada gereja untuk urusan penyelenggaraan. Semoga bantuan ini dapat memberikan keselesaan kepada semua,” katanya.