“Kami Bangga Dengan Anda”, Ungkapan PM Anwar Buat 22 Belia Malaysia Di Worldskills Shanghai

SHANGHAI, 23 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyemarakkan semangat 22 belia Malaysia yang menyertai WorldSkills Shanghai 2026 dengan rangkai kata dorongan serta menggelar mereka sebagai “kebanggaan negara”.

“Anda telah mengorbankan masa selama bertahun-tahun untuk sesuatu yang sukar sehingga anda berhasil menguasainya dengan baik. Walau apapun keputusan minggu ini, negara anda berbangga dengan anda.

“Penyertaan anda di sini membolehkan Malaysia menguji keupayaannya dengan kalangan yang terbaik di dunia. Ini menunjukkan sejauh mana standard kita dibandingkan (dengan yang lain) dan perkara yang kita boleh pertingkatkan,” kata Perdana Menteri pada sesi pleno di sini hari ini.

Dalam Worldskills Shanghai 2026, Malaysia diwakili oleh 22 pesaing muda merentas 21 bidang kemahiran, menandakan penyertaan berterusan negara dalam acara itu sejak 1995.

Mengenai peranan belia dalam ekonomi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ekonomi moden tidak dapat berfungsi tanpa juruteknik yang memastikan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik berjalan mengikut jadual.

“Jentera mungkin menjadi semakin sofistikated. Perisian mungkin kian pintar, Tetapi seseorang masih perlu memahami cara semua itu berfungsi dan tahu perkara yang perlu dilakukan apabila ia gagal,” kata beliau dan menambah anak muda akan memilih kerja tersebut apabila mereka dapat melihat hala tujunya.

“Tugas kita adalah memastikan semua ini membawa ke arah yang berbaloi: kepada pekerjaan berkemahiran dan pendapatan yang baik. Kemahiran yang tinggi itu dibina secara perlahan-lahan,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut memetik peribahasa lama Cina, sebatang pohon mengambil masa sepuluh tahun untuk tumbuh, sebaliknya memerlukan seratus tahun untuk memupuk seorang insan.

“Dan di sinilah dinamisme golongan muda menonjol sebagai faktor penting dalam kemajuan ekonomi. Kita mesti terlebih dahulu menyingkirkan tanggapan lama bahawa golongan muda hanyalah tanah subur untuk kemajuan material.

“Sememangnya, tidak ada sebarang keraguan bahawa tenaga dan semangat golongan muda menyumbang secara besar-besaran kepada produktiviti tinggi dalam usaha mencapai pertumbuhan material,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata belia memberikan sumbangan hebat dengan berkhidmat kepada masyarakat, yang jarang sekali disedari.

“Terima kasih kepada golongan muda, usaha untuk memupuk penambahbaikan masyarakat, tuntutan keadilan sosial, menamatkan ketaksaksamaan kekayaan dan desakan pembasmian kemiskinan — ini adalah yang paling penting.

“Sebuah negara boleh menarik masuk modal. Sebuah negara boleh memperoleh teknologi. Namun, sebuah negara masih memerlukan mereka yang tahu untuk menjadikan teknologi itu berfungsi dan menjadikannya lebih baik,” kata Anwar.

Perdana Menteri tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.