MANILA, 28 Okt — Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina Ma Theresa Lazaro mengetuai misi kemanusiaan ASEAN ke Myanmar bagi membantu meluaskan akses ke kawasan yang memerlukan bantuan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) dengan memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri (DFA) pada Rabu.
Jurucakap DFA bagi Hal Ehwal ASEAN, Dax Imperial, berkata Lazaro akan melawat Negeri Shan dan mengadakan pertemuan di Nay Pyi Taw dari 28 hingga 29 Okt, memandangkan blok serantau itu berusaha untuk memajukan usaha kemanusiaan di negara yang dilanda konflik tersebut.
Imperial berkata tiada perincian mengenai kemungkinan pertemuan antara Lazaro dengan pemimpin Myanmar yang kini ditahan, Aung San Suu Kyi.
“Tiada perincian mengenai pertemuan sedemikian. Buat masa ini, apa yang ada hanyalah misi kemanusiaan di Negeri Shan dan siri pertemuan di Nay Pyi Taw,” kata Imperial.
Misi dijalankan ketika ASEAN mendesak kemajuan berhubung ‘Konsensus Lima Perkara’ 2021, yang menuntut pengakhiran keganasan, dialog nasional yang inklusif, serta penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang diskriminasi.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menyatakan harapan agar Lazaro dapat mencapai kemajuan yang boleh dilaporkan kepada menteri-menteri luar ASEAN menjelang sidang kemuncak pemimpin blok tersebut di Manila.
“Beliau ke sana sebagai utusan khas ASEAN dan kami berharap akan ada kemajuan yang baik, suatu perkembangan yang boleh beliau laporkan apabila menteri-menteri luar ASEAN bertemu di Manila sebelum Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” kata Sihasak, seperti dipetik Channel News Asia.
Misi dijalankan dengan kerjasama Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA) yang berpangkalan di Jakarta, serta disertai wakil daripada misi ASEAN dan Jepun yang berpangkalan di Yangon.
Delegasi tersebut akan melawat lokasi-lokasi yang ditetapkan di Taunggyi, Negeri Shan Selatan, pada 28 Okt.
Lawatan itu menandakan bermulanya pengagihan bantuan kemanusiaan selama sebulan kepada komuniti di Negeri Kayin, Negeri Shan Selatan dan Negeri Shan Utara.
Pusat AHA bersama rakan pelaksananya, Persatuan Palang Merah Myanmar, akan terus menyalurkan bekalan makanan serta barangan keperluan bukan makanan kepada komuniti yang terjejas sehingga November 2026.
Secara keseluruhan, operasi berkenaan dijangka menjangkau lebih 11,000 isi rumah melalui pengagihan beras dalam beg 50 kilogram, kit keperluan keluarga serta kit kebersihan diri.
Misi itu menandakan penghantaran bantuan kemanusiaan pertama oleh Pusat AHA di Negeri Shan Utara, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan-kawasan yang sebelum ini belum pernah dijangkau.
Selain lawatan kemanusiaan tersebut, Lazaro akan mengetuai penyerahan simbolik sebuah bangunan keagamaan, serta pengagihan kelengkapan sekolah ke bangunan sekolah pasang siap yang dibina hasil sumbangan daripada Filipina, susulan gempa bumi yang melanda bahagian tengah Myanmar pada 2025.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Filipina telah meletakkan bantuan kemanusiaan sebagai salah satu keutamaannya berhubung Myanmar.
“Misi kemanusiaan ini merupakan sebahagian daripada penglibatan serantau Setiausaha Lazaro yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan Myanmar, termasuk pihak berkuasa Myanmar, wakil daripada Negara Anggota ASEAN dan Rakan Dialog, serta pelaku kemanusiaan di Myanmar,” menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri.












Tinggalkan Balasan