PRN Johor: BN Lepasi Sasaran 40 Kerusi, Jangka Raih Mandat Lebih Besar – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 11 Julai — Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan penguasaan di Johor apabila melepasi sasaran 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian itu bukan sahaja mengulangi kemenangan 40 kerusi pada PRN Johor 2022 malah memberi petanda awal bahawa gabungan berkenaan bakal memperoleh mandat lebih besar untuk mentadbir negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan BN telah melepasi 40 kerusi DUN… kita jangka akan dapat lebih lagi… terima kasih kepada Bangsa Johor kerana memilih BN semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini malam ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti, parti komponen, Friends of BN, jentera dari seluruh negara dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkampung di Johor sepanjang tempoh berkempen.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan cemerlang dan pencapaian peribadi yang amat bermakna buat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menurut beliau berjaya menerajui pentadbiran negeri dengan prestasi terbaik sepanjang empat tahun ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata kemenangan itu tidak akan membuatkan BN bersikap megah diri sebaliknya keputusan tersebut diterima dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati.

​”Kerajaan negeri yang bakal dibentuk ini adalah atas perkenan Duli Tuanku. Kami berjanji pentadbiran penggal ini akan dilaksanakan dengan komitmen terbaik dan segala janji dalam manifesto akan dipenuhi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri pimpinan BN akan terus menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bagi memastikan segala perancangan dan projek pembangunan dapat diterjemahkan.

“Insya-Allah, kita mahu seluruh Bangsa Johor kembali bertaut, berpadu dan hentikan perbalahan politik. Kita mahu Johor menjadi negeri termaju di Malaysia,” katanya.

​Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap momentum kemenangan besar di Johor itu akan menjadi pemangkin dan mencetuskan “Gelombang Biru” pada PRN Negeri Sembilan, Melaka serta Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau berkata Ibu Pejabat BN akan sentiasa memantau prestasi kerajaan negeri secara berterusan bagi memastikan segala aku janji manifesto ditunaikan dan segala masalah rakyat diberi perhatian dalam usaha merealisasikan agenda Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan 172 calon dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon diikuti Perikatan Nasional (PN) (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA – empat calon) serta Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon selain enam calon Bebas.

Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), PN (tiga) manakala MUDA satu kerusi.