Zambry Tiba Di Doha Untuk Istiadat Penghormatan Terakhir Bekas Emir Qatar

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tiba di Doha, Qatar awal pagi Selasa bagi mewakili kerajaan Malaysia untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Ayahanda Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Zambry berkata beliau akan melakukan kunjungan ke atas Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di Istana Lusail hari ini.

“Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada kepimpinan serta seluruh rakyat Qatar atas kepulangan ke rahmatullah Ayahanda Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani,” katanya.

Istana Diraja Qatar, Amiri Diwan mengumumkan Sheikh Hamad meninggal dunia pagi Ahad pada usia 74 tahun.

Sheikh Hamad memerintah Qatar dari 1995 hingga 2013, sebelum menyerahkan tampuk pemerintahan kepada puteranya Sheikh Tamim.

Susulan kemangkatan Almarhum Ayahanda Emir Qatar, negara itu mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama empat hari di seluruh negara bermula Ahad (12 Julai).

Sepanjang tempoh itu, semua kementerian, agensi kerajaan dan institusi awam di Qatar ditutup.