Isu Network School: Kementerian Digital, MDEC Digesa Ambil Tindakan Jika Langgar Syarat Malaysia Digital

JOHOR BAHRU, 21 Julai — Kerajaan Negeri Johor menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) supaya mengambil tindakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan menerusi status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi Network School.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi di bawahnya juga perlu meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau sebarang kesalahan di bawah undang-undang negara.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura. 

“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata agensi berkaitan juga perlu memperketat proses “due diligence”, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

Penyelarasan antara agensi juga perlu  diperkukuh supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang. 

Dalam pada itu, Onn Hafiz menjelaskan tindakan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan dan pemberhentian semua aktiviti NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City adalah berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata langkah itu juga dibuat hasil penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh syarikat itu.

Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberikan manfaat kepada ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri. 

Bagaimanapun, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi yang boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara.

MBIP hari ini dilaporkan mengenakan Notis Henti Niaga terhadap NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) berkuat kuasa esok, susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis di bawah bidang kuasa PBT.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP berhubung aktiviti yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.