Dunia Islam Perlukan Ilmuwan Berupaya Satukan Umat Melalui Hikmah – Raja Muda Perlis

KANGAR, 21 Julai — Dunia Islam kini memerlukan lebih ramai ilmuwan yang bukan sahaja memiliki ketajaman ilmu dan kemampuan berhujah malah berupaya menyatukan umat melalui hikmah, akhlak serta pendekatan sederhana dalam mendepani cabaran semasa, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Justeru, baginda menyeru institusi pengajian tinggi, badan penyelidikan serta agensi bahasa dan persuratan agar terus berganding bahu memperkukuh budaya membaca, menulis, berdialog, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan karya ilmiah berkualiti demi memperkasa pembangunan ilmu dalam negara.

Baginda yang juga Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan titah ucaptama di  Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi di Kuala Lumpur seperti dimaklumkan dalam kenyataan Istana Arau hari ini.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seminar itu dianjurkan secara kerjasama oleh UniSIRAJ dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi meneliti, membincangkan dan menghayati gagasan pemikiran, sumbangan besar serta ijtihad fiqh kontemporari Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai antara tokoh ilmuwan Islam terkemuka dunia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah nama Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi sememangnya tidak asing dalam dunia Islam kerana beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang faqih yang mendalami khazanah turath bahkan seorang mujaddid yang berjaya menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan realiti serta cabaran kehidupan moden.

Raja Muda Perlis menzahirkan penghargaan terhadap usaha memperkukuh Institut Pemikiran Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai sebuah pusat penyelidikan yang menghimpunkan para sarjana, penyelidik dan generasi muda untuk mengembangkan khazanah pemikiran Islam kontemporari.

Sementara itu, menyentuh aspirasi UniSIRAJ sebagai sebuah universiti wakaf, baginda bertitah konsep itu bukan sekadar menjadi identiti institusi malah merupakan manifestasi kepada kelangsungan budaya wakaf sebagai asas pembangunan ilmu, penyelidikan dan pembinaan modal insan.