Program IPX MyIPO Perkasa Usahawan Batik Muda Perkukuh Pengurusan Harta Intelek

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini melancarkan Program IP Accelerator (IPX) – Evolusi Batik: Memelihara Tradisi, Memperkasa Nilai bagi memperkukuh pengurusan harta intelek dalam kalangan pengusaha batik muda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu bertujuan membantu usahawan memanfaatkan harta intelek sebagai aset strategik perniagaan bagi memperkukuh penjenamaan serta meluaskan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata program berkenaan menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pengusaha batik, artisan, pereka fesyen, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta wakil agensi kerajaan.

“Seramai 100 pengusaha batik muda turut dipilih menyertai Klinik Pengurusan Harta Intelek hasil kerjasama strategik antara MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

“Klinik ini menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi memberi bimbingan berkaitan strategi perlindungan harta intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan serta model pelesenan untuk meningkatkan nilai komersial hasil rekaan batik tempatan,” katanya pada majlis pelancaran program itu, di sini, hari ini.

Armizan berkata inisiatif tersebut selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pembangunan sektor ekonomi kreatif yang terus mencatat pertumbuhan positif.

Berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai kira-kira RM130 bilion.

“Pengurusan harta intelek yang berkesan bukan sahaja melindungi hasil ciptaan daripada penyalahgunaan, malah menjadi instrumen penting dalam meningkatkan nilai produk, memperkukuh identiti jenama serta membuka peluang pengembangan pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengusaha batik memanfaatkan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) sebagai pelengkap kepada pembangunan produk dan pemasaran tanpa menjejaskan keaslian Batik Malaysia sebagai warisan negara.

Katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi MyIPO akan terus memperkukuh ekosistem harta intelek negara melalui program pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat bagi memastikan lebih ramai usahawan menjadikannya sebagai strategi perniagaan.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Pada masa sama memastikan warisan batik Malaysia terus dipelihara dan mampu menembusi pasaran global,” katanya.