Lima Anggota Renjer Thailand Maut Dalam Serangan Bersenjata Di Narathiwat

NARATHIWAT, 23 Julai — Lima anggota renjer Thailand maut manakala enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, cedera dalam serangan bersenjata di sebuah pos kawalan keselamatan di Narathiwat, selatan Thailand pada Rabu.

Panglima Tentera Wilayah Ke-4 merangkap Pengarah Pusat Penerangan Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Leftenan Jeneral Norathip Phoyanok, berkata serangan itu berlaku kira-kira 6.45 petang waktu tempatan di pos kawalan Markas Renjer 4509 di Bukit Sami, Daerah Rangae.

“Siasatan awal mendapati lebih enam suspek bertopeng dan berpakaian gelap telah menyerang pos kawalan itu dengan melepaskan tembakan serta melontar bom paip ke arah anggota keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian pada Khamis.

Norathip berkata kumpulan suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam.

“Serangan itu menyebabkan lima anggota renjer maut di tempat kejadian manakala enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan seorang warga emas, cedera,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat Boonchuai Hormyamyen mengarahkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan pihak pentadbiran memperketat kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand serta di 13 daerah di Narathiwat susulan peningkatan insiden keganasan di wilayah itu.

Beliau berkata pihak berkuasa turut menutup lokasi kejadian bagi membolehkan pemeriksaan forensik dijalankan serta mengumpulkan bahan bukti, manakala siasatan untuk mengenal pasti dalang serangan masih diteruskan.