PUTRAJAYA, 24 Julai — Permintaan kukuh daripada pelabur mendorong langganan lebihan sebanyak 4.7 kali bagi penerbitan Sukuk Global Malaysia bernilai US$1.5 bilion, yang ditetapkan pada spread terendah dalam rekod, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Penerbitan itu merangkumi tranche bernilai US$850 juta bagi tempoh matang 5.75 tahun dan tranche US$650 juta bagi tempoh matang 10 tahun.
MOF berkata permintaan kukuh daripada pelabur membolehkan kerajaan menetapkan harga akhir terendah sebanyak 30 mata asas daripada Panduan Harga Awal (IPG) kepada kadar T+15 mata asas bagi tranche 5.75 tahun dan T+25 mata asas bagi tranche 10 tahun.
“Penerbitan ini mewujudkan penanda aras harga baharu bagi penerbitan global pada masa hadapan oleh entiti berkaitan kerajaan dan sektor swasta, di samping mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap agenda pembaharuan fiskal dan ekonomi Malaysia,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sukuk yang disandarkan kepada aset itu distrukturkan berasaskan konsep Manafae mengikut garis panduan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), dengan aset sandarannya terdiri daripada hak perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel awam bandar Malaysia.
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dasar ekonomi Malaysia kini dipandu oleh kerangka Ekonomi MADANI yang telah memacu negara di landasan yang tepat.
“Kita telah memperkukuh kewangan awam, memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan serta meletakkan asas yang teguh dalam membina daya tahan Malaysia bagi jangka masa panjang.
“Lebihan langganan yang tinggi dengan kadar spread terendah mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan dasar pembangunan negara yang kukuh. Ini membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang yang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus menarik sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar,” kata beliau.
MOF berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan hasil usaha yang dicapai sepanjang tiga tahun sejak pelancaran kerangka Ekonomi MADANI pada 27 Julai 2023.
Menurut kementerian itu, defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2025 berbanding 6.4 peratus pada 2021, manakala pinjaman kerajaan turut menurun kepada sembilan peratus daripada KDNK berbanding 13.6 peratus dalam tempoh yang sama.
“Prestasi fiskal yang kukuh turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada 2024 dan 2025, diikuti pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026, manakala anggaran awal pertumbuhan 5.8 peratus bagi suku kedua menunjukkan prestasi yang lebih kukuh daripada unjuran awal,” katanya.
MOF berkata kedua-dua tranche diberikan penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings, sejajar dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia serta prospek yang stabil.
Tranche 5.75 tahun ditetapkan pada kadar keuntungan 4.612 peratus setahun dengan spread 15 mata asas berbanding kadar hasil Bil Perbendaharaan AS dengan tempoh matang yang sama, manakala tranche 10 tahun ditetapkan pada kadar keuntungan 4.949 peratus setahun dengan spread 25 mata asas, katanya.
Menurut kementerian itu, hasil daripada penerbitan itu akan digunakan bagi tujuan am kerajaan yang mematuhi syariah, termasuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan/atau membiayai semula obligasi sedia ada.
Sementara itu, katanya program libat urus pelabur menarik penyertaan 140 pelabur antarabangsa daripada pelbagai segmen dan berkualiti tinggi, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat dan kerajaan, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans serta dana persaraan.
Dari segi geografi, tranche 5.75 tahun diperuntukkan kepada pelabur di Asia (76 peratus), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) sebanyak 19 peratus serta Amerika Syarikat (lima peratus), manakala tranche 10 tahun diagihkan kepada pelabur di Asia (63 peratus), EMEA (18 peratus) dan Amerika Syarikat (19 peratus).
Mengikut kategori pelabur, tranche 5.75 tahun diperuntukkan kepada bank dan institusi kewangan (43 peratus), pengurus dana dan aset (27 peratus), bank pusat serta bank korporat dan komersial (15 peratus), dana kekayaan berdaulat dan institusi sektor awam (lapan peratus), serta syarikat insurans dan dana pencen (tujuh peratus).
Bagi tranche 10 tahun pula, 59 peratus diperuntukkan kepada pengurus dana dan aset, diikuti institusi kewangan dan bank (30 peratus), bank swasta dan korporat (tujuh peratus) serta bank pusat (empat peratus).
Terbitan ini dilaksanakan mengikut Regulation S dan Rule 144A, Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933 serta akan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, Labuan International Financial Exchange dan Bursa Malaysia di bawah Exempt Regime.
CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered Bank berperanan sebagai pengurus utama bersama dan penyelaras bersama bagi penerbitan berkenaan.
Struktur Syariah sukuk itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah CIMB Islamic Bank Bhd, Jawatankuasa Penyeliaan Syariah Global HSBC, Jawatankuasa Penyeliaan Syariah Global Standard Chartered serta Jawatankuasa Syariah J.P. Morgan.

















Tinggalkan Balasan