Malaysia Kecam Pencerobohan Puak Pelampau Yahudi Di Kompleks Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan secara beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh lebih daripada 4,200 puak pelampau Yahudi termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel, di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel pada 23 Julai. 

Kementerian Luar berkata tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam, disusuli sekatan yang dikenakan ke atas jemaah Palestin serta pelaksanaan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kawasan kompleks berkenaan merupakan pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir tapak suci itu. 

“Tindakan ini juga merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan mengenai status Baitulmuqaddis Timur yang Diduduki.

“Malaysia memandang provokasi melampau ini sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, yang bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografinya,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata tindakan berkenaan bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah segera dan konkrit bagi memastikan Israel menghentikan segala tindakan provokatif serta pencabulan terhadap Masjid Al-Aqsa.

Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan sokongan teguhnya terhadap hak-hak mutlak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, menurut kenyataan itu.