KUALA LUMPUR, 25 Julai — Jepun dan ASEAN perlu memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi hadapan, keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi, bagi meningkatkan daya tahan rantau ini dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi global, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Sufian Jusoh.
Beliau berkata kerjasama itu penting, berikutan landskap geopolitik dunia yang semakin mencabar akibat konflik serantau, ketidaktentuan perdagangan antarabangsa serta persaingan teknologi global.
“Malaysia dan ASEAN memerlukan sokongan Jepun dalam pembangunan teknologi hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi kuantum serta pemprosesan mineral kritikal melalui pelaburan dalam infrastruktur, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan ASEAN bukan sahaja menjadi hab pembuatan, malah mampu muncul sebagai peneraju inovasi teknologi pada peringkat global,” katanya dalam kenyataan yang disampaikan pada Sesi Meja Bulat bersama Ahli Parlimen Jepun di Raffles Hotel, Singapura.
Sesi itu menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan integrasi ASEAN serta peranan Jepun dalam menyokong pembangunan ekonomi serantau.
Sufian berkata walaupun ASEAN kini menjadi antara hab utama pelaburan global dalam sektor semikonduktor dan elektronik, kebanyakan negara anggotanya masih berada pada tahap pengguna teknologi dan belum menjadi peneraju pembangunan teknologi strategik.
Beliau berkata keselamatan tenaga turut menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian, memandangkan pembangunan teknologi baharu memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan mampan.
“ASEAN dan Jepun sama-sama berdepan risiko gangguan bekalan tenaga susulan ketidaktentuan geopolitik dunia, justeru pelaburan dalam tenaga boleh baharu, pembangunan infrastruktur tenaga serta kerjasama dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), perlu diperkasakan bagi menjamin keselamatan tenaga serantau,” katanya.
Beliau berkata perubahan dasar perdagangan dan teknologi global turut membuka ruang kepada Jepun, untuk memainkan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik ASEAN, melalui pendekatan berasaskan kepercayaan, pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
“UKM sendiri komited menyokong agenda itu menerusi kerjasama dengan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) serta penubuhan Semiconductor Center, Quantum Center, ASEAN Institute dan Centre for Critical Minerals yang bakal menjadi platform penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat bagi menyokong integrasi ekonomi ASEAN,” katanya.

















Tinggalkan Balasan