Belanjawan 2027: Kerajaan Disaran Tambah Kemudahan Pengecasan, Insentif Beli EV

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Kerajaan disaran mempertimbangkan untuk menambah kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) khususnya di kawasan luar bandar serta memperkenalkan insentif pembelian EV dalam Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini.

Pengamal industri automotif tempatan dan antarabangsa Mohd Khairull Anuar Ismail berkata keadaan ini memandangkan pengguna yang berhasrat membeli EV akan turut menilai tahap kesiapsiagaan kemudahan yang tersedia di negara ini terutama infrastruktur pengecasan.

“Negara kita mempunyai kemudahan pengecasan di kawasan bandar dan lebuh raya utama yang cukup, namun bilangannya masih perlu ditambah di kawasan luar bandar.

“Kemudahan pengecasan di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian bagi menyokong pertumbuhan penggunaan EV,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Automotif Malaysia: Pertumbuhan Kukuh, Cabaran Baharu,” pada Jumaat.

Mengulas semakan unjuran jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) 2026 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) kepada 800,000 unit berbanding 790,000 unit sebelum ini, katanya Malaysia berpotensi mencapai sasaran itu bergantung kepada permintaan pengguna serta kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Mengenai segmen kenderaan yang dijangka memacu pertumbuhan jualan automotif, beliau berkata pada masa ini pengguna dilihat berkecenderungan membeli kenderaan bersaiz kompak berikutan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan dan praktikal untuk kegunaan harian berbanding kenderaan besar.

Bagi EV pula, Mohd Khairull Anuar berkata kos pengecasan yang lebih rendah berbanding penggunaan bahan api konvensional serta penawaran teknologi canggih menjadi antara faktor yang menarik minat pengguna.

“Kedua-dua faktor berkenaan dijangka terus meningkatkan permintaan pengguna terhadap kenderaan, khususnya EV,” katanya.