Perdagangan Malaysia 2025 Catat Prestasi Tertinggi Lepasi Nilai RM3 Trilion

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh pada 2025 dengan jumlah perdagangan meningkat 6.3 peratus atau RM182.4 bilion kepada RM3.1 trilion berbanding tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan eksport dan import masing-masing sebanyak 6.6 peratus dan enam peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Bagi Tahun Rujukan 2025 hari ini berkata negara mengekalkan lebihan dagangan untuk 28 tahun berturut-turut sejak 1998, meningkat 12.8 peratus atau RM17.8 bilion kepada RM156.8 bilion berbanding 2024.

“Eksport meningkat 6.6 peratus kepada RM1.6 trilion daripada RM1.5 trilion pada 2024, disokong eksport domestik yang meningkat 2.2 peratus kepada RM1.2 trilion dan menyumbang 77.2 peratus daripada keseluruhan eksport.

“Eksport semula yang menyumbang 22.8 peratus daripada eksport keseluruhan meningkat kepada RM366.8 bilion, melonjak 25.1 peratus berbanding 2024. Import turut meningkat 6.0 peratus atau RM82.3 bilion kepada RM1.5 trilion, tahun ke tahun,” katanya.

DOSM berkata dari segi komoditi, sebanyak 133 daripada 260 kumpulan komoditi eksport mencatat peningkatan berbanding 2024, diteraju barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan kelengkapan serta alatan mengukur, memeriksa dan menganalisis.

Bagi import pula, 128 daripada 261 kumpulan komoditi mencatatkan peningkatan, terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bagi barangan elektrik dan elektronik, pesawat udara dan kelengkapan dan enjin, motor, bukan elektrik dan alat ganti, katanya.

“Peningkatan dalam eksport ini terutamanya didorong oleh peningkatan eksport ke Amerika Syarikat yang mencatat pertumbuhan positif 17.5 peratus atau RM34.8 bilion kepada RM233.7 bilion. 

“Ia dipacu oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (RM26.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM2.0 bilion), makanan diproses (RM1.6 bilion) serta produk logam (RM1.2 bilion),” kata DOSM.

Jabatan itu berkata negara destinasi seterusnya yang mencatat peningkatan eksport ialah Taiwan (RM21.0 bilion, 31.3 peratus), Singapura (RM19.1 bilion, 8.3 peratus), Kesatuan Eropah (RM13.4 bilion, 11.6 peratus) dan Mexico (RM11.3 bilion, 59.7 peratus).

Sementara itu, peningkatan ketara dalam import didorong oleh peningkatan import dari China dengan kenaikan 19.0 peratus atau RM56.3 bilion daripada RM296.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM352.8 bilion.

Peningkatan ini disumbangkan oleh import kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (RM37.0 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM6.1 bilion), serta jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM4.8 bilion).

Import Malaysia yang lebih tinggi turut direkodkan dari Taiwan (RM36.1 bilion, 33 peratus), Costa Rica (RM11 bilion, 432.5 peratus), Korea Selatan (RM9.2 bilion, 16.6 peratus), Vietnam (RM7.7 bilion, 26.2 peratus) dan AS (RM5.9 bilion, 4.7 peratus).

Dari perspektif sektor, eksport merentas sektor pembuatan, pertanian, perlombongan dan lain-lain mencatatkan jumlah RM1.6 trilion dengan pertumbuhan 6.6 peratus atau RM100.1 bilion.

DOSM berkata peningkatan itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektrinik (RM110.7 bilion, 18.4 peratus), mesin, kelengkapan dan alat ganti (RM9.3 bilion, 13.5 peratus), peralatan optik dan saintifik (RM6.5 bilion, 11 peratus), produk pembuatan berasaskan minyak sawit (RM5.7 bilion, 16.2 peratus) serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit (RM4.9 bilion, 6.2 peratus).

Selain itu, pengembangan import turut direkodkan bagi barangan elektrik & elektronik (RM111.6 bilion, 24.5 peratus), kelengkapan pengangkutan (RM7.3 bilion, 13.9 peratus), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM6.9 bilion, 6.1 peratus), bijih logam dan serpihan logam (RM5.8 bilion, 35.0 peratus) dan barangan perkilangan lain (RM4.8 bilion, 17.6 peratus).

Pada masa yang sama, peningkatan dalam import mengikut penggunaan akhir dipengaruhi permintaan tinggi terhadap barangan modal dan barangan penggunaan, katanya.

Menurut DOSM, import barangan modal yang berjumlah RM214.5 bilion (14.8 peratus daripada jumlah import) meningkat 29.1 peratus, disebabkan oleh kenaikan import barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) (RM43.4 bilion).

Import barangan penggunaan (8.2 peratus daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 1.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM119.5 bilion, hasil daripada peningkatan import barangan tahan lama (RM2.4 bilion) dan barangan separa tahan lama (RM1.3 bilion), kata jabatan itu.

Bagaimanapun, katanya, import barangan perantaraan (49.5 peratus daripada jumlah import) menyusut 4.1 peratus atau RM30.4 bilion kepada RM718.8 bilion pada 2025, didorong oleh penurunan import bekalan perindustrian, diproses (-RM21.6 bilion) serta bahan api dan pelincir utama (-RM13.2 bilion).