Pegawai Palestin Gesa Malaysia Perhebat Advokasi Untuk Tahanan Di Penjara Israel

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Malaysia boleh memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan hak tahanan Palestin dengan meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel serta membantu membawa dakwaan penderaan di penjara ke perhatian institusi global, kata seorang pegawai kanan Palestin.

Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin Raed Abu Al-Hummus berkata Malaysia dan negara-negara lain yang menyokong Palestin boleh membantu dengan terus mengetengahkan layanan buruk terhadap tahanan Palestin serta mendesak Israel memberikan akses lebih luas kepada mereka.

“Memberikan tekanan kepada kerajaan Israel dan terus membicarakan isu sensitif ini benar-benar membantu kami,” kata beliau dalam wawancara menerusi program “Palestine Beyond The Headlines” terbitan Bernama TV pada Khamis.

Beliau mendakwa kira-kira 9,400 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk 99 wanita, lebih 350 kanak-kanak dan 3,244 orang di bawah tahanan pentadbiran, yang membenarkan seseorang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Angka itu tidak termasuk lebih 1,300 rakyat Palestin dari Gaza yang didakwa ditahan di pusat tahanan yang tidak didedahkan lokasinya, kata beliau.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai secara senyap di dalam penjara Israel”, Abu Al-Hummus mendakwa beberapa langkah hukuman baharu dikenakan terhadap tahanan sejak 7 Okt 2023 termasuk kebuluran, gangguan seksual, kesesakan serta penafian rawatan perubatan.

“Kebanyakan mereka sakit dan penyakit telah merebak di seluruh penjara,” katanya.

Beliau turut mendakwa lebih 90 tahanan Palestin meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak 7 Okt, dengan sebahagian daripada mereka didakwa diseksa, dipukul dan mengalami penderaan seksual.

Abu Al-Hummus berkata suruhanjaya itu menubuhkan pasukan perundangan kecemasan yang terdiri daripada lebih 65 peguam untuk mengendalikan kes di mahkamah tentera, penjara dan pusat tahanan Israel.

Bagaimanapun, sekatan akses serta proses yang panjang terus menjejaskan usaha mereka.

“Setiap isu yang kami bangkitkan di mahkamah tentera mengambil masa dan kelewatan itu bermakna kematian lebih ramai tahanan Palestin,” katanya.

Beliau berkata suruhanjaya itu akan terus mendokumentasikan serta membawa isu tahanan ke peringkat antarabangsa menerusi laporan dan penglibatan dengan pertubuhan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau menegaskan kepimpinan Palestin masih berpegang kepada keamanan dan penyelesaian dua negara.