Tourism Malaysia Lancar Pakej Durian Lembah Klang Pada Malaysia Fest 2026 Di Singapura

SINGAPURA, 31 Julai — Tourism Malaysia  melancarkan Pakej Durian Edisi Lembah Klang untuk pasaran Singapura sempena Malaysia Fest 2026 edisi kesembilan yang berlangsung di Singapore Expo.

Malaysia Fest 2026 yang berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos mengetengahkan pakej perjalanan yang menggabungkan tarikan bandar raya dengan pengalaman mengunjungi dusun durian berhampiran Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata edisi Lembah Klang itu bertujuan menawarkan kepada pelancong, khususnya rakyat Singapura bahawa mereka boleh menikmati percutian di bandar kosmopolitan dan pengalaman menikmati durian segar terus dari dusun dalam satu perjalanan.

“Pelancong boleh membeli-belah di pusat beli-belah bertaraf dunia pada waktu pagi dan menikmati “musang king” segar yang gugur secara semula jadi di dusun pada sebelah petang.

“Kami menjangkakan inisiatif ini dapat meningkatkan ketibaan pelancong dari Singapura dengan ketara, khususnya bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Inisiatif itu dilancarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin pada Khamis.

Malaysia Fest 2026 selama empat hari yang bertemakan “Unveil the Wonders of Malaysia” menghimpunkan 280 syarikat yang mempromosikan lebih 1,500 produk agromakanan, pelancongan, fesyen dan kecantikan, dengan sasaran nilai jualan langsung sebanyak RM15 juta.