Seminar Antarabangsa Anti-keganasan 2026 di Xinjiang Bertujuan Martabatkan Penguatkuasaan, Jana Impak Sosial

Pelbagai negara perlu memperkukuh kesedaran tentang komuniti berkongsi nasib sesama insan, memperhalusi pelaksanaan pendekatan menyeluruh dalam menangani isu anti-keganasan dan berusaha menjana impak sosial berdasarkan amalan multilateralisme.

Demikian dinyatakan Wakil Kementerian Luar China yang juga Utusan Khas bagi Isu Asia Barat, Zhai Jun ketika menghadiri Seminar Antarabangsa Anti-keganasan 2026 yang diadakan di sini Selasa. 

“Usaha juga perlu dibuat untuk memperkukuh pembinaan kemampuan demi mengatasi kekurangan dalam bidang teknologi dan memartabatkan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa yang wujud sebagai asas kerjasama,” ujar Zhai, yang bukan sahaja menghadiri majlis pembukaan, tetapi juga majlis penutupan seminar tersebut.

Zhai menekankan lagi dalam seminar yang diadakan di bandar Yili wilayah Xinjiang di bahagian barat laut China itu bahawa Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tadbir Urus Global yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping boleh dijadikan rujukan dan panduan penting untuk meneliti pakej penyelesaian dalam memerangi keganasan secara tuntas.

Sementara itu, para peserta bersetuju bahawa konflik geostrategik, ketidakseimbangan pembangunan ekonomi, penyalahgunaan teknologi baru, dan kelemahan yang berbeza dalam memerangi keganasan merupakan antara faktor-faktor yang menyebabkan kegiatan keganasan berleluasa bahkan ada yang semakin meruncing.

Pelbagai negara harus memikul tanggungjawab antarabangsa dalam memerangi keganasan, mengukuhkan konsensus dan menjana impak sosial, menentang isu anti-keganasan dipolitikkan, diperalatkan atau dikenakan amalan dwistandard, mengintensifkan kerjasama antarabangsa, meningkatkan tadbir urus komprehensif, meningkatkan keberkesanan dalam usaha memerangi keganasan, dan membendung penyalahgunaan teknologi baharu.

Turut hadir, perwakilan dari 24 buah negara dan organisasi wilayah termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rusia dan Kesatuan Afrika.