PUTRAJAYA, 6 Ogos — Negara-negara anggota ASEAN disaran memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui penambahbaikan undang-undang, saluran pelaporan lebih mesra kanak-kanak serta penguatkuasaan dasar antibuli susulan syor yang dikemukakan peserta pada Forum Kanak-Kanak ASEAN kesembilan (ACF).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata syor yang dibentangkan peserta mencerminkan pengalaman, aspirasi dan harapan sebenar kanak-kanak, sekali gus wajar diberi perhatian oleh pembuat dasar di peringkat nasional dan serantau.
Beliau berkata kerajaan, badan sektoral ASEAN serta rakan strategik perlu meneliti cadangan berkenaan dan jika bersesuaian, menterjemahkannya kepada dasar, program serta inisiatif yang konkrit.
“Pandangan yang disampaikan oleh peserta kanak-kanak mencerminkan pengalaman hidup, aspirasi dan harapan mereka yang turut menyumbang kepada pembinaan Komuniti ASEAN secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media sempena majlis penutupan ACF ke-9 di sini hari ini.
Forum yang berlangsung secara hibrid itu menghimpunkan peserta kanak-kanak dari negara-negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu keganasan terhadap kanak-kanak, termasuk keganasan fizikal, emosi, mental dan seksual.
Hasil konsultasi sepanjang forum, peserta mengemukakan syor berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam empat persekitaran utama iaitu rumah, sekolah, ruang dalam talian dan komuniti.
Antara cadangan utama ialah memperkukuh perundangan berkaitan perlindungan kanak-kanak, mempelbagaikan saluran pelaporan mesra kanak-kanak, menguatkuasakan dasar antibuli, memperluas sokongan psikososial serta menyediakan perkhidmatan yang lebih inklusif untuk kanak-kanak dalam situasi rentan.
Selain itu, forum turut mengiktiraf peranan ibu bapa, guru, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, media dan rakan sebaya dalam mewujudkan persekitaran selamat kepada kanak-kanak.
Pada masa sama, peserta menyatakan komitmen untuk saling menyokong rakan sebaya serta memupuk budaya prihatin dan hormat-menghormati sebagai usaha menangani keganasan terhadap kanak-kanak.

















Tinggalkan Balasan