KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP hari ini, selepas membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata mesyuarat sama turut bersetuju supaya Naib Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
“Setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada beliau sehingga satu tarikh yang akan diumumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos ini bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026, yang akan berlangsung di Melaka pada 15 dan 16 Ogos.
Beliau berkata MPP turut bersetuju supaya jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR, digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden parti Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Fahmi berkata MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Parti menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus-lumus sewaktu dua PRN itu, serta merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan cemerlang sepanjang dua penggal yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan MPP PKR turut meluluskan 3,533 anggota baharu bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026, yang telah mendaftar secara dalam talian.
















Tinggalkan Balasan