WASHINGTON, 7 Ogos — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menandatangani dua perintah eksekutif yang bertujuan memperketat pemberian kewarganegaraan berasaskan kelahiran, termasuk satu perintah yang meluaskan kategori individu yang dianggap tidak layak menerima kewarganegaraan secara automatik ketika lahir serta satu lagi yang melarang amalan yang dikenali sebagai “pelancongan kelahiran”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Trump mengkritik keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini berhubung kewarganegaraan berasaskan kelahiran dengan menyifatkannya sebagai “keputusan yang amat malang”.
“Kami sedang membuat beberapa penyesuaian kerana keadaan ini sangat tidak adil,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval sebelum menandatangani perintah berkenaan.
“Perkara ini diwujudkan sejurus selepas Perang Saudara. Ia bertujuan untuk anak-anak hamba, tetapi apa yang berlaku sekarang? Terdapat pihak yang meraih keuntungan daripada sistem itu … Ini bukanlah cara sistem itu sepatutnya berfungsi,” katanya, merujuk kepada kewarganegaraan berasaskan kelahiran yang dijamin menerusi Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS.
Mahkamah Agung pada Jun membatalkan perintah eksekutif Trump yang bertujuan menamatkan kewarganegaraan berasaskan kelahiran, dengan Ketua Hakim John Roberts menegaskan bahawa perlindungan di bawah Pindaan Ke-14 meliputi semua kanak-kanak yang dilahirkan di bumi Amerika.
Timbalan Ketua Staf Rumah Putih Stephen Miller berkata perintah eksekutif pertama itu bersandarkan keputusan terkini Mahkamah Agung bagi memperluaskan takrif individu yang tidak berhak memperoleh kewarganegaraan berasaskan kelahiran.
“Presiden menggunakan kuasanya sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera untuk menandatangani perintah eksekutif pertama berdasarkan keputusan baharu Mahkamah Agung bagi memperluaskan takrif individu yang tidak layak menerima kewarganegaraan berasaskan kelahiran,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata perintah itu meliputi “musuh asing Amerika Syarikat, anggota pertubuhan pengganas asing serta pelbagai kategori individu yang melobi dan bertindak bagi pihak kerajaan asing”.
“Dengan tindakan ini, sejumlah besar individu yang sebelum ini secara tidak wajar memperoleh kewarganegaraan berasaskan kelahiran tidak lagi layak menerima manfaat itu,” katanya.
Trump turut menandatangani perintah eksekutif kedua yang melarang “pelancongan kelahiran”, iaitu amalan individu melancong ke AS menggunakan visa sementara semata-mata untuk melahirkan anak supaya bayi itu memperoleh kewarganegaraan.
Miller berkata perintah itu mengarahkan pegawai konsular supaya menolak permohonan visa daripada individu yang tujuan utama mereka ke AS adalah untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak yang bakal dilahirkan.













Tinggalkan Balasan