JERTIH, 8 Ogos — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyokong langkah Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap 1,260 juruterbang Malaysia Airlines susulan penahanan seorang petugasnya di Indonesia baru-baru ini.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata langkah memperketat kawalan keselamatan dan memperluas saringan mandatori kepada juruterbang serta kru kabin aktif selaras dengan dasar toleransi sifar terhadap penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.
“Keselamatan sektor penerbangan tidak boleh dikompromi kerana industri itu memikul tanggungjawab besar terhadap nyawa penumpang selain memastikan tindakan terpencil individu tidak menjejaskan imej dan profesionalisme tenaga kerja penerbangan yang berdedikasi.
“AADK akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan badan kawal selia bagi memperkukuh perkongsian maklumat serta kawalan keselamatan di semua pintu masuk utama negara,” katanya.
Ruslin berkata demikian selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI AADK di Felda Tenang, di sini hari ini.
Beliau berkata AADK sedia bekerjasama dengan MAG termasuk melalui operasi pengesanan penyalahgunaan dadah, pengukuhan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dan latihan saringan serta pencegahan.
Selain itu, beliau berkata operasi pengesanan penyalahgunaan dadah terhadap kru penerbangan pernah dilaksanakan AADK terhadap Malaysia Airlines pada April 2025 dan AirAsia pada Disember 2025.
Dalam pada itu, Ruslin berkata pelaksanaan program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di Felda Tenang membuktikan pembangunan luar bandar bukan sahaja tertumpu kepada kemudahan fizikal, malah perlu disertai usaha membina modal insan yang selamat, sejahtera serta bebas dadah.
Menerusi program itu, antara kemudahan yang dinaik taraf ialah astaka padang bola, gelanggang futsal dan sepak takraw, Dewan Nurul Ehsan, lampu solar di tanah perkuburan serta kemudahan pembelajaran di sekolah termasuk laluan berbumbung, penyaman udara dan sistem siar raya.
Sementara itu, Ruslin berkata jumlah mereka terlibat penyalahgunaan dadah di Terengganu menurun 7.2 peratus kepada 7,582 orang pada suku pertama 2026 berbanding 8,174 orang bagi tempoh sama tahun lepas.
“Namun peningkatan penglibatan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun sebanyak 16.7 peratus dan peningkatan kumpulan 55 hingga 59 tahun serta 65 hingga 69 tahun, agak membimbangkan,” katanya.
Ruslin berkata golongan muda perlu diberikan perhatian khusus dengan pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI berperanan sebagai antara benteng awal pencegahan dadah pada peringkat sekolah dan komuniti.
Beliau berkata dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi kekal paling dominan dengan 6,206 kes atau 81.9 peratus,diikuti opiat sebanyak 1,281 kes atau 16.9 peratus pada suku pertama 2026.

















Tinggalkan Balasan