KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Menteri Luar dan Perdagangan Luar Fiji Sakiasi Raisevu Ditoka akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari Ahad hingga Rabu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Fiji.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang lawatan itu, Ditoka dijadual bertemu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan usaha untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Fiji, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu, dan kebudayaan.
“Mesyuarat itu juga memberi peluang kepada kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan dalam isu-isu serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Ditoka turut dijadual bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi baharu yang boleh memanfaatkan kedua-dua negara.
Sepanjang lawatan itu, beliau juga akan merasmikan Majlis Pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur dan menyaksikan penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Fiji.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Fiji bernilai RM880.01 juta (US$206.2 juta), dengan eksport Malaysia berjumlah RM867.92 juta (US$203.41 juta) manakala import dari Fiji bernilai RM12.09 juta (US$2.80 juta).













Tinggalkan Balasan