Anwar Terharu Karyanya Diterjemah Kepada Bahasa Mandarin

HANGZHOU, 24 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu apabila hasil karya beliau, “Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times”, kini secara rasmi diterbitkan dalam terjemahan bahasa Mandarin.

“Ini, satu usaha yang murni yang saya harapkan dapat memperluas medan pertemuan serta pembenturan pemikiran, budaya dan peradaban,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata buku tersebut tidak berbentuk memoir atau autobiografi, tetapi merupakan himpunan renungan tentang pengalaman mengenai penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara-negara merdeka, usaha pencarian serta pemurnian jati diri bangsa.

Anwar berkata ia juga tentang refleksi usaha dan ikhtiar membina negara bangsa serta masa depan yang berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan kemakmuran bersama.

“Justeru, dalam konteks hubungan Malaysia dan China mengajar kita bahawa perbezaan tidak semestinya menjurus kepada pertentangan,” kata beliau.

Perdana Menteri sebelum itu menghadiri pelancaran global edisi Bahasa Cina buku terbaharunya itu, yang diterbitkan World Affairs Press di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar China. Ia diterjemahkan oleh Dr Yan Lijin, dengan kira-kira 5,000 naskhah telah dicetak.

Versi asal bahasa Inggeris “Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times” diterbitkan pada Oktober 2025 oleh Penguin Random House SEA.

Dalam hantaran tersebut, Perdana Menteri turut menyentuh tentang hubungan antara masyarakat dan peradaban antara kedua-dua negara menerusi jalur perdagangan, kebudayaan, sikap saling hormat dan pertukaran ilmu, sejak berabad lamanya.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin berantakan disebabkan prasangka dan ketidakyakinan, jambatan kefahaman sebegini harus terus diperkukuh.

“Sementalahan, saya yakin kita tidak harus terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat. Dari Confucius dan Mencius sehingga Shakespeare, termasuk daripada tradisi Islam hingga khazanah pemikiran pelbagai peradaban, yang harus kita junjung ialah hikmah yang mengangkat martabat manusia yakni prinsip tegas kepada kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan.

“Akhirnya, persoalan besar zaman ini tidak semata tentang siapa muncul dari Timur atau Barat, apa bangsa atau anutannya, tetapi sejauh mana kita mampu kembali menemukan kemanusiaam yang menyatukan kita dan membina kesejagatan yang adil dan saksama untuk semua,” kata beliau.

Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou berakhir hari ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.