Risiko El Nino Pacu Unjuran Harga MSM 2026 RM4,400 Setan Metrik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,400 setan metrik bagi 2026 dan RM4,450 setan metrik bagi 2027 sementara menunggu musim pengumuman keputusan kewangan yang akan datang.

Dalam nota hari ini, bank pelaburan itu memaklumkan musim keputusan kewangan berkenaan mungkin memberikan gambaran mengenai strategi lindung nilai serta panduan prestasi syarikat perladangan berikutan kemungkinan berlakunya fenomena El Nino yang sangat kuat.

Menurut Kenanga IB, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) sekali lagi meningkatkan kebarangkalian berlakunya El Nino dalam kategori teruk atau “sangat kuat”.

NOAA dalam kemas kini Ogos meletakkan kebarangkalian berlakunya El Nino yang sangat kuat pada lebih 90 peratus bagi musim luruh dan musim sejuk di Hemisfera Utara 2026-27.

Selain itu, terdapat kebarangkalian 69 peratus El Nino mencapai tahap bersejarah pada Oktober hingga Disember 2026, sekali gus berpotensi melebihi kekuatan episod El Nino terdahulu sejak 1950, menurutnya.

“Secara keseluruhan, terdapat kecenderungan menaik terhadap andaian harga MSM dan isirung sawit (PK) semasa kami, selain unjuran dan harga sasaran,” menurutnya.

Kenanga IB memaklumkan berdasarkan rekod sejarah, pengeluaran minyak sawit biasanya tidak terjejas melainkan El Nino yang berlaku adalah sangat kuat dengan keadaan kering berlanjutan selama enam bulan atau lebih.

Menurutnya, memandangkan El Nino lazimnya bermula pada separuh kedua tahun, hasil tanaman pada tahun berikutnya cenderung terjejas.

Bagaimanapun, berbeza dengan pengeluaran, harga MSM dan PK boleh bertindak balas secara positif walaupun terhadap El Nino dalam kategori sederhana atau kuat, menurutnya.

Kenanga IB memaklumkan perubahan harga secara sejarah menunjukkan turun naik yang ketara, daripada penurunan suku ke suku pada peringkat awal kepada lonjakan antara 10 peratus dan 40 peratus suku ke suku pada suku-suku berikutnya.

“Secara keseluruhan, kami berpendapat kenaikan antara lima dan 10 peratus adalah munasabah buat masa ini, mengambil kira harga MSM dan PK yang telah berada pada paras tinggi sejak konflik Asia Barat,” menurutnya.

Bank pelaburan itu memaklumkan pihaknya menaikkan unjuran harga MSM bagi 2026 sebanyak empat peratus kepada RM4,400 setan metrik daripada RM4,250 setan metrik, manakala unjuran bagi 2027 dinaikkan enam peratus kepada RM4,450 setan metrik daripada RM4,200 setan metrik pada Jun.

“Buat masa ini, kami mengambil kira sebahagian daripada senario El Nino yang sangat kuat dalam penetapan harga, namun pelarasan menaik selanjutnya tidak boleh diketepikan, termasuk nisbah harga kepada pendapatan (P/E) dan harga kepada nilai buku (P/B) yang lebih tinggi, yang kami kekalkan tidak berubah,” menurutnya.

Kenanga IB memaklumkan permintaan makanan dan bahan api yang kekal berdaya tahan, ditambah dengan gangguan bekalan yang lebih tinggi akibat konflik berterusan di Ukraine dan Asia Barat serta kemungkinan berlakunya El Nino yang sangat kuat, terus memberikan kecenderungan menaik kepada sektor perladangan.

Sehubungan dengan itu, bank pelaburan berkenaan mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor tersebut.

Antara pilihan utama Kenanga IB ialah IOI Corp Bhd dengan harga sasaran RM4.65, Kuala Lumpur Kepong Bhd (RM25.20) dan United Malacca Bhd (RM7.00).