PETALING JAYA, 14 Ogos — Kerajaan terus mengambil pendekatan proaktif dalam merangka dasar serta menyediakan ekosistem teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara bersedia mendepani cabaran teknologi masa depan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pendekatan am pentadbiran sebelum ini yang lebih bersifat reaktif, atau mencari penyelesaian selepas sesuatu masalah timbul tidak lagi sesuai dengan kepantasan perkembangan teknologi pada masa ini.
Beliau berkata penubuhan AI Malaysia, selaku badan induk untuk memacu aspirasi Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030 merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk menjangka sebarang cabaran serta menyiapkan penyelesaian lebih awal sebelum sesuatu isu melanda.
“Kebiasaannya, pendekatan tradisional kerajaan adalah melihat kepada polisi, perundangan dan penguatkuasaan apabila timbul isu. Ia mengambil masa dan akhirnya kita hanya bertindak secara reaktif terhadap masalah.
“Pendekatan ini perlu berubah. Dengan adanya AI Malaysia, kita mahu bertindak proaktif dengan meramal cabaran mendatang supaya penyelesaian sudah sedia dan terus dapat dilaksana dengan serta-merta apabila isu timbul,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Sidang Kemuncak AI Ready Malaysia 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pendekatan proaktif itu, Gobind berkata ia termasuklah melibatkan usaha untuk mewujudkan sebarang Rang Undang-Undang mahupun polisi yang bersifat persediaan yang boleh bertindak balas terhadap sebarang cabaran pada masa depan.
“Dalam aspek ini, AI Malaysia juga memberi penumpuan kepada cabaran yang dijangka dihadapi dalam enam sektor utama di negara ini antaranya melibatkan bidang pertanian, pengangkutan dan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Gobind berkata kerajaan akan terus memperkasakan kesedaran, kebolehcapaian atau ketersediaan dan penerimaan teknologi.
“Pertama, kita perlu sedar berkenaan dengan apakah teknologi itu dan bagaimana ia dapat membantu kita… itu yan gmendorong kita untuk menggunakannya. Bila sudah ada kesedaran, tidak adalah kita hendak membiarkan orang lain bergerak ke depan dan kita ini tertinggal di belakang.
“Jadi di sini perlunya kerajaan memastikan ekosistem teknologi yang boleh diakses, diguna pakai seluruh lapisan masyarakat, tidak terlalu mahal dan mudah untuk diperoleh sebelum ada penggunaan teknologi ini dalam kehidupan untuk memberi manfaat kepada kita dalam aspek berkaitan,” katanya.

















Tinggalkan Balasan